Dua buah sekolah pelopor program STEM ilmu falak

Admin

BERTAM – Mungkin pertama di Malaysia, Pegawai Penerangan Pejabat Ketua Menteri, Zahar Zainul berkata Sekolah Menengah Kebangsaan Permatang Tok Jaya (SMKPTJ) dan SMK Datuk Haji Ahmad Said terpilih menjadi pelopor bagi program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam mengetengahkan ilmu falak.

“Gabungan dua buah sekolah ini dilihat dapat menjadi pelopor dalam mengetengahkan ilmu falak dan merupakan yang pertama di negara ini.

“Untuk makluman, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow turut memberi sumbangan sebanyak RM35,000 kepada SMKPTJ sebagai tanda sokongan penganjuran ilmu yang bermanfaat ini,” katanya semasa Majlis Perasmian Bengkel Pengendalian Teleskop di sini baru-baru ini.

BARISAN tenaga pengajar sekolah kagum melihat teleskop yang disediakan.

Hadir sama, Timbalan Mufti Pulau Pinang, Sohibus Fadhilah Tuan Haji Yusoff Abu Bakar yang mewakili Mufti Pulau Pinang, barisan pengetua serta tenaga pengajar sekolah-sekolah terlibat.

Mengulas lanjut, Zahar berkata pihaknya turut berbesar hati dengan sambutan baik yang diterima oleh pihak-pihak yang terlibat serta berharap program tersebut dapat melebarkan lagi sayap pengajian ke tahap yang lebih tinggi.

“Di peringkat awal program ini, kita dahului pelajar-pelajar sekolah yang mempunyai minat ke arah ilmu falak kerana saya yakin bahawa ramai di kalangan (pelajar) yang suka mempelajari serta mengkaji cakerawala.

“Setelah itu, dengan dorongan dan semangat dari pelajar sekolah, baru kita akan beralih ke peringkat universiti dan seterusnya ke peringkat lebih tinggi bagi memperluaskan pemahaman mengenai ilmu falak,” jelasnya lanjut.

Para pelajar yang hadir dari kedua-dua buah sekolah.

Pada sesi yang sama, Zahar turut berharap agar para pelajar dapat berkongsi ilmu yang disampaikan pada program berkaitan kepada rakan-rakan yang lain.

“Ilmu yang bermanfaat seperti ini hendaklah disampaikan juga dari mulut ke mulut bagi menimbulkan minat dalam diri masing-masing.

“Sesiapa sahaja yang berkeinginan ingin mencuba atau mengetahui cara penggunaan boleh datang ke SMKPTJ dan mencubanya sendiri seperti rakan anda di sini,” ujarnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS