GEORGE TOWN – Jambatan Pulau Pinang akan ditutup pada 28 Julai ini bermula 6.30 pagi hingga 9 pagi (dari pulau ke Butterworth) bagi memberi laluan kepada acara Penang Fellowship Ride Bridge to Bridge 2024.
Manakala penutupan Jambatan Kedua akan bermula pada 9 pagi hingga 12 tengah hari (dari Batu Maung ke Batu Kawan).
Menurut Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen, beberapa jalan terlibat juga akan akan ditutup secara berperingkat bagi menjayakan kayuhan ini.
“Sebagai makluman, kayuhan ini akan bermula dan tamat di Tapak Pesta Sungai Nibong.
“Acara kayuhan ini akan melalui Jambatan Pulau Pinang, Jalan Perindustrian Juru, Batu Kawan sebelum berpatah balik ke Tapak Pesta melalui Jambatan Kedua dan Lebuhraya Tun Dr. Lum Chong Eu (Bayan Lepas),” ujar Zi Sen dalam satu sidang media di Komtar di sini hari ini.
Zi Sen memaklumkan seramai 2,343 orang peserta telah mendaftar bagi mennyertai acara kayuhan tersebut.
Kayuhan sejauh 68 kilometer (km) itu juga akan disertai oleh Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang turut menghabiskan kayuhan sama tahun lalu.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD