PULAU Aman yang terletak kira-kira 16 batu nautika dari Seberang Perai dan lapan kilometer (km) dari Jambatan Pulau Pinang, sungguhpun jauh dari arus pembangunan moden negeri, tetap jua mempunyai tarikan tersendiri.
Pulau seluas 116.5 hektar itu ketika kini didiami kira-kira 50 keluar dengan jumlah populasi penduduk berbangsa Melayu seramai 270 orang.
Di celah-celah majoriti penduduk asal yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, percaya atau tidak terdapat dua keluarga berbangsa Cina daripada jalur Hakka di kawasan tersebut.
Demikian kata ‘Ah Chin’ atau nama sebenarnya LIEW YOON CHIN, 88, dalam wawancara bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS di Bahagian Penerangan, Pejabat Ketua Menteri, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini pada 18 Jun 2024.
Ah Chin, ditemani dua sepupunya, Liew Yuen Chin, 83, dan Liew Swee Chin, 76.
“Saya boleh dikatakan sebatang kara – mungkin kerana anak perempuan waktu itu ‘tak laku’, semasa saya berusia tiga tahun ibu saya meninggal dunia dan ayah saya terus pulang ke Tongshan (Republik Rakyat China).
“Di Pulau Aman ini, seingat saya bukan hanya ada dua keluarga kecil berbangsa Cina yang hidup aman damai bersama-sama penduduk asal lain yang rata-rata berbangsa Melayu dan beragama Islam.
”Mereka tinggal berhampiran jeti Pulau Aman.
“Selain keluarga saya, satu lagi keluarga yang tinggal dekat telaga air adalah keluarga sepupu saya, Liew Yuen Chin dan Liew Swee Chin,” jelasnya.
Bercerita lanjut, ‘Ah Chin’ memberitahu bahawa beliau lahir dan tinggal di Pulau Aman sejak tahun 1936 iaitu sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957.
“Semasa era pemerintahan Jepun di sini (dari 8 Disember 1941 sehingga 31 Januari 1945), saya masih tinggal di Pulau Aman.
“Semasa saya berusia 16 tahun pada tahun 1952 atau 1954 (sebelum Malaya merdeka), barulah saya berhijrah keluar dari Pulau Aman ini bersama-sama keluarga,” jelasnya, kini tinggal di bahagian Pulau, Negeri Pulau Pinang.
Menyambung cerita, LIEW YUEN CHIN memberitahu bahawa di Pulau Aman kini memang tiada lagi rumah pusaka keluarganya, melainkan ada struktur tiang asal serta telaga tinggalan di depan rumahnya.
“Yang terkenal di Pulau Aman memang telaga emas kerana kilauan batu pada air telaga itu seakan-akan warna keemas-emasan.
“Selain struktur tiang asal rumah pusaka kami, tinggalan lain yang ada antaranya adalah sebuah telaga di depan tapak asal rumah pusaka kami.
“Telaga ini bukan sahaja menjadi sumber air kami sekeluarga, malah untuk keperluan jiran-jiran yang rata-rata berbangsa Melayu dan pada masa itu kami hidup secara harmoni.
“Menyorot sejarah juga, sehingga kini masih terdapat tangga asal Tok Pek Kong (rumah ibadat bukan Islam, RIBI).
“Selain Sekolah Kebangsaan Pulau Aman yang terletak di kawasan tanah rendah pulau itu, di kawasan tanah tinggi pulau dahulu pernah ada sebuah sekolah rendah Cina (yang mana) dalam satu kelas ada murid-murid pelbagai umur belajar mengikut silibus masing-masing disebabkan jumlah murid-murid di pulau ini adalah terhad,” jelasnya sambil mendendangkan lagu rasmi sekolah yang pernah dinyanyikan semasa beliau di bangku sekolah pada setiap pagi sebelum sesi pembelajaran bermula.
Kata Yuen Chin lagi, proses asimilasi budaya dalam kalangan penduduk asal Pulau Aman yang rata-rata adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam membuatkan beliau masih mengingati beberapa gurindam asal penduduk setempat di sini.
Walaupun pada mulanya Yuen Chin agak malu untuk mendendangkan gurindam asal yang sampai kepadanya semasa kecil namun selepas dipujuk, beliau secara spontan menyebut;
Loi Loi Cak,
Cak ikan pari,
Anak berteriak,
Mak pergi cara lagi.
Bermastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Yuen Chin berkata dua tahun lepas memang beliau pernah kembali menjejakkan kaki di Pulau Pinang serta mencari kenalan yang seusia dengannya yang mungkin masih tinggal di pulau tersebut.
“Semasa ayah masih hidup, memang pernah mengambil sewa tapak daripada beberapa penduduk asal.
“Sampai suatu masa, dengan pertolongan Pengerusi JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung), tanah di sini dikecualikan dari bayaran cukai.
“Sejak itu, ayah sendiri memang tidak mengutip sewa tapak lagi daripada beberapa keluarga yang mendirikan rumah mereka di sekeliling rumah kami.
“Masa kecil memang ada banyak kenangan seperti memanjat pokok, menarik sampan semasa air surut untuk menikam ikan di perairan laut, mengutip kerang dan sebagainya (yang mana) semua kenangan ini sudah tentu menggamit perasaan saya dan adik-beradik untuk kembali menjenguk tempat jatuh bangun kami hidup semasa kanak-kanak pada suatu masa dahulu,” jelasnya lagi yang kini bermastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam wawancara hampir sejam, Yoon Chin dan Yuen Chin masing-masing lebih banyak berceloteh mengenai keadaan harmoni dua keluarga kecil berbangsa Cina di celah-celah majoriti komuniti Melayu yang beragama Islam yang mana ia sesuatu yang mungkin perlu disanjung oleh rakyat Malaysia berbilang bangsa pada hari ini.
Sosok yang agak ‘mengunci mulut’ semasa wawancara di sini tadi adalah saudara paling bongsu dalam kalangan ketiga-tiga mereka, iaitu LIEW SWEE CHIN.
Kata Swee Chin, beliau masih menyimpan sijil lahir di Pulau Aman, sungguhpun kini telah berhijrah ke negara Republik Rakyat Singapura.
“Sebelum dikenali sebagai Pulau Aman, nama asal pulau ini dahulu adalah Pulau Kra atau Pulau Kera.
“Dinamakan sebagai Pulau Kra atau Kera, mungkin disebabkan begitu banyak habitat monyet atau kera di pulau ini.
“Saya memang dilahirkan di Pulau Kera, dengan bantuan bidan tempatan, maka sebab itu pada sijil kelahiran saya tertera tempat lahir saya di Pulau Kera (yang mana kini dikenali sebagai Pulau Aman),” jelasnya lagi dalam nada sederhana.
Selain naratif-naratif yang dikongsikan oleh Yoon Chin dan Yuen Chin, Swee Chin berkata salinan dokumen sijil lahirnya itu mungkin adalah satu lagi bukti bahawa di celah-celah penduduk Pulau Aman yang berbangsa Melayu dan Islam kini, sebenarnya pernah ada dua keluarga Cina dari puak Hakka yang pernah menjadi sebahagian penduduk asal di pulau yang menyimpan ‘1001 kisah terpendam’ di situ.