DATUK KERAMAT – Dua daripada tiga keluarga di Kampung Masjid Hashim Yahaya, di sini yang terjejas akibat kejadian ribut pada 23 Julai lalu menerima bantuan kewangan dari Tabung Bencana TYT.
Dua mangsa terbabit adalah Mohamad Ali Abdul Majid, 52 dan Roslan Yusoff, 50-an.
Sumbangan disampaikan oleh Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa Jagdeep Singh Deo.
Jagdeep berkata, kedua-dua mangsa menerima bantuan kewangan masing-masing berjumlah RM1,200.
“Selain itu, sumbangan tambahan akan ditampung oleh Ahli Parlimen (Jelutong),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat ketika melawat salah seorang mangsa, pagi ini.
Turut serta dalam lawatan itu adalah Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim, Penghulu Kawasan dan anggota Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkaitan.
Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa sebahagian besar bumbung rumah mangsa terlibat rosak akibat dipukul ribut dan hampir dihempap pokok besar pada hari kejadian.
Bercakap pada sidang media sama, Rayer memberitahu bahawa jumlah sumbangan bantuan yang akan diberikan adalah berdasarkan nisbah pemberian yang dibuat melalui Tabung Bencana TYT.
“Kalau Encik Roslan menerima RM800 daripada Tabung Bencana TYT, maka saya akan menyumbang peruntukan sebagai Ahli Parlimen Jelutong sebanyak RM800 juga,” katanya sambil merakamkan ucapan takziah kepada mangsa-mangsa terlibat.
Difahamkan, seorang lagi mangsa akan menerima bantuan sama selepas beliau pulang dari Kuala Lumpur, kelak.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS