Dua kes Omicron dikesan, segera dapatkan dos penggalak

Admin

GEORGE TOWN – Sebagaimana diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebanyak dua kes COVID-19 varian Omicron telah dikesan di negeri Pulau Pinang setakat ini, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, kedua-dua kes berkenaan merupakan kes import dari luar negara, membabitkan rakyat tempatan yang pulang dari Arab Saudi selepas menunaikan umrah.

“Kita mendapat maklumat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bahawa dua kes dikenal pasti ini merupakan kes import membabitkan mereka yang baru pulang dari menunaikan umrah.

“Kedua-dua pesakit tersebut kini telah dimasukkan ke hospital untuk pemantauan lanjut, dan kerja-kerja lazim seperti mengenal pasti kontak rapat sedang giat dijalankan oleh pihak JKNPP.

Ketua Menteri mengadakan jelajah mesra sambil mengedarkan kalendar tahun 2022 kepada peniaga sekitar Lebuh Campbell pagi tadi.

“Setakat ini, tidak ada laporan selain daripada dua kes ini, dan ia perlu dipantau dengan rapi supaya varian Omicron tidak menular di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan program jelajah mesra sambil mengedarkan kalendar 2022 kepada peniaga di sekitar Lebuh Campbell dekat sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng serta ADUN Pengkalan Kota, Gooi Zi Sen.

Terdahulu, KKM memaklumkan bahawa sebanyak 45 kes baharu varian Omicron telah dikesan di Malaysia setakat 25 Disember lalu, termasuk 30 mereka yang pulang dari Arab Saudi selepas menunaikan ibadat umrah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, 30 varian Omicron yang merupakan kes import dari Arab Saudi direkodkan dari beberapa negeri termasuk Selangor (11), Kuala Lumpur (4), Kedah (2), Pahang (4), Perlis (2), Johor (2), Pulau Pinang (2) serta masing-masing satu di Melaka, Perak dan Terengganu.

Susulan itu, Kon Yeow menyeru rakyat di negeri ini supaya segera mengambil suntikan dos penggalak sebagai langkah pencegahan.

“Kita (Pulau Pinang) mempunyai jumlah pusat pemberian vaksin (PPV) yang mencukupi, termasuk hospital dan klinik swasta untuk membantu dalam pemberian vaksinasi dos penggalak ini.

“Justeru, saya sekali lagi menyeru supaya rakyat Pulau Pinang tampil ke hadapan untuk menerima dos penggalak, selain sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” serunya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI