GEORGE TOWN – Dua kilang roti diarahkan tutup selama 14 hari mulai hari ini sehingga 6 Januari 2020 ekoran tahap kebersihan premis tidak menepati piawaian yang ditetapkan.
Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), M. Bawani berkata, kedua-dua kilang roti yang juga membekalkan produk berasaskan roti, diarahkan tutup selepas pihak berkaitan menemui najis tikus.
Kedua-dua premis ini menerima Notis Perintah Penutupan Premis mengikut Undang-undang Kecil 38(1) Establisymen Makanan MPPP 1991 selepas hasil pemeriksaan menemui najis tikus.
“Pemilik premis perlu menjalankan kerja-kerja pembersihan dan penambahbaikan sebelum pihak kami (Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pelesenan MBPP) kembali untuk pemeriksaan semula.
“(Dan) sekiranya kami berpuas hati maka pemilik premis boleh membuka semula dan beroperasi seperti biasa,” ujarnya ketika ditemui sejurus tamat Operasi Penutupan Premis pagi ini yang turut disertai 11 anggota.
Mengulas lanjut, Bawani memaklumkan bahawa sejak 1 November 2019, MBPP diberi kuasa untuk melaksanakan penutupan premis mengikut Prosedur Operasi Piawai (SOP) Penutupan Establisymen Makanan.
“Hari ini merupakan operasi kali kelima sejak 1 November lalu, membabitkan pelbagai premis dengan jumlah penutupan establisymen makanan adalah sebanyak 13 buah setakat ini.
“Sebelum kuasa (penutupan premis) diberikan, pihak kami melaksanakan operasi secara bersepadu yang mana Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan mengeluarkan notis arahan (penutupan premis),” katanya.
Selain terdapat najis tikus, barang-barang kes lain (eksibit) yang turut ditemui adalah tali guni yang digunakan untuk menyapu mentega pada alatan memasak, bangkai tikus dan cicak serta telur lipas.
Galeri:
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI