GEORGE TOWN – Dua laporan polis dibuat hari ini susulan fitnah yang tular melalui media sosial dan menggunakan gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Laporan berkenaan dibuat oleh Setiausaha Politik bagi Ketua Menteri, Teh Lai Heng di Balai Polis Jalan Patani dan satu lagi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi H’ng Mooi Lye di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Nibong Tebal.
Menurut Lai Heng, laporan polis dibuat susulan fitnah yang disebarkan melalui pengguna akaun Facebook dan laman sosial lain atas nama ‘Eunos Khai’ yang bertulis “Sekarang DAP Berkuasa Di Malaysia, Siapa Tak Suka DAP Keluar Dari Malaysia” dan tertera gambar Ketua Menteri.
“Saya ingin menyatakan di sini bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Chow Kon Yeow mahupun Parti Tindakan Demokratik (DAP) tidak pernah membuat apa-apa kenyataan seperti yang dinyatakan oleh pemilik akaun Facebook ‘Eunos Khai’.
“Ini merupakan satu tuduhan dan fitnah yang tidak berasas terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang mana perkara ini juga boleh menganggu-gugat ketenteraman awam dan menyebabkan rusuhan.
“Saya memohon dan menuntut tindakan segera diambil oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah Seksyen 233 Akta Multimedia dan Komunikasi 1998 dan Seksyen 499, Seksyen 500 serta Seksyen 505 (b) dan Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan terhadap pihak-pihak yang terus menyebarkan dan memuat naik perkara ini,” ujarnya pada sidang media sejurus selesai membuat laporan di sini tadi.
Difahamkan, Lai Heng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar menyedari akan perkara tersebut pada 20 November 2019 (semalam) kira-kira jam 6:30 petang ketika berada di Pejabat Ketua Menteri di Komtar.
Hadir sama, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Wong Yuee Harng.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : CHAN KOK KUAN