Dua laras meriam berusia lebih 260 tahun ditemukan

GEORGE TOWN – Dua laras meriam dipercayai berusia lebih 260 tahun ditemukan secara tidak sengaja di tapak Projek Kerja-kerja Pengukuhan dan Penambahbaikan Tembok Laut di pesisir pantai utara, Jalan Tun Syed Barakbah dekat Padang Kota Lama di sini.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, dua laras meriam tersebut ditemui ketika kerja-kerja pengukuhan dan naik taraf tembok laut dijalankan dan ia merupakan penemuan yang baik.

 

KETUA Menteri bersama-sama wakil daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan Jabatan Warisan Negara melihat secara dekat jumpaan tidak sengaja, dua laras meriam di sini pagi ini.

“Apabila meriam pertama dijumpai (semasa Projek Ekskavasi dan Konservasi Kota Cornwallis dilaksanakan) pada 2018, kita (Kerajaan Negeri) merasakan ia satu-satunya meriam yang dijumpai.

“Tetapi sehingga kini, sebanyak enam laras meriam telah ditemukan di sekitar Padang Kota Lama di sini,” ujarnya kepada pemberita sejurus mengadakan lawatan ke tapak penemuan di sini pagi ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Pesuruhjaya Warisan merangkap Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mesran Mohd. Yusop; Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Dr. Noor Zari Hamat; Timbalan Pengurus Besar Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI), S. Bharathi serta wakil-wakil daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), MOTAC dan Jabatan Warisan Negara.

MERIAM yang mempunyai ukiran ‘1757’ yang dipercayai merupakan tahun asal pembuatan.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota berharap pihak berwajib dapat menggunakan teknologi terkini dan canggih bagi mengesan tinggalan sejarah yang tertanam di sekitar kawasan Kota Cornwallis.

“Saya tidaklah bercadang untuk mengorek seluruh kawasan di Padang Kota Lama ini untuk kerja-kerja ekskavasi.

“Cuma secara kebetulan, sekiranya kerja-kerja menaik taraf seperti projek ini (Projek Kerja-kerja Pengukuhan dan Penambahbaikan Tembok Laut) dan menemui (artifak) maka ia merupakan penemuan yang baik.

“(Dan) semua kerja-kerja konservasi yang dilakukan di kawasan ini adalah mengikut Rancangan Kawasan Khas George Town yang merupakan usahasama Perbadanan Pembangunan dan Pemuliharaan George Town (GTCDC),” katanya.

KETUA Menteri turut berpeluang meninjau kerja-kerja pengukuhan dan naik taraf tembok laut di sini yang merupakan lokasi penemuan dua laras meriam berkaitan.

Dalam pada itu, Mesran ketika ditemui menganggap penemuan dua laras meriam itu sebagai suatu titik yang cukup bermakna dalam melihat sejarah pembangunan negeri Pulau Pinang.

“Selepas ini, pihak Jabatan Warisan Negara akan bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menjalankan kerja-kerja konservasi jumpaan meriam dan hasilnya nanti akan menjadi suatu khazanah terhadap ketamadunan dan pembangunan negeri ini.

“(Dan) pihak kami juga akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk meneruskan pencarian artifak yang mempunyai nilai sejarah tinggi,” jelasnya.

UKIRAN ‘1757’ yang dipercayai merupakan tahun asal pembuatan.

Terdahulu, para pemberita berpeluang melihat sendiri penemuan dua laras meriam yang salah satunya tercatat angka ‘1757’ dipercayai tahun asal pembuatan.

Meriam yang berukuran antara 3.0 hingga 3.6 meter dan seberat kira-kira 3 tan (setiap satu) itu ditemukan pada 9 Disember serta 27 Disember lalu dan merupakan meriam terbesar ditemukan setakat ini.

Sebelum ini, pada 19 Februari 2018, dua laras meriam berkembar berlainan saiz iaitu 2.35 meter dan 2.2 meter serta tertera simbol ‘GR’ ditemukan di tapak arkeologi di Kota Cornwallis dan dipercayai digunakan pada era King George III.

Manakala, dua laras lagi ditemukan pada 24 Disember 2018 di bahagian selatan Kota Cornwallis.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD