PERAI – Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor telah siap pada tahun lepas di samping sebuah lagi LRA ‘tambahan’ dekat Sungai Kerian yang dijangka siap dua tahun akan datang yang dijangka bakal menangani isu tekanan air rendah di beberapa kawasan hujung paip agihan (EoL) sekitar Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian sebagai mengulas kenyataan seorang jurucakap jawatankuasa penaja Forum Seberang Perai semalam, yang mengatakan bahawa kenaikan tarif air negeri bermula 1 Februari 2024 adalah di luar penjelasan logik serta tidak memenuhi piawaian Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan piawaian sejagat.
“LRA ‘tambahan’ dengan kapasiti 114 juta liter sehari (MLD) yang bakal siap, secara praktikal akan membekalkan cukup air bersih (di Daerah SPS).
“(Dua LRA ‘tambahan’) ini adalah antara lapan projek cegah rintang yang telah diumumkan sebelum ini,” jelasnya kepada pemberita seusai menyertai sambutan Ponggal di Kuil Sri Muniswarar dekat sini pada 18 Januari 2024.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow sekali lagi menjelaskan bahawa tujuan hakiki penyelarasan tarif negeri dibuat adalah bagi memastikan sekalian pengguna berhemah dalam menggunakan bekalan air bersih.
“Jalan terbaik adalah dengan menaikkan tarif (kerana) sekalian pengguna akan berasa jika mereka menggunakan air secara berlebihan maka perlu membayar lebih, dan jika mengguna air secara hemah, akan membayar kurang (bil utiliti itu),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan sambil memberitahu bahawa tarif akan dikaji selepas tiga tahun nanti.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : SIEW CHIA EN