GEORGE TOWN – Seramai enam orang pemenang cabutan bertuah dan pertandingan video TikTok sempena Penang International Halal Food & Heritage Festival pada 17 dan 18 Disember 2022 menerima hadiah masing-masing semalam.
Hadiah disampaikan oleh Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain dalam satu majlis ringkas di pejabat Penang Halal International (PHI) dekat Komtar.
Menurut Abdul Halim Penang International Halal Food & Heritage Festival yang julung kalinya diadakan itu berjaya menarik 50,000 orang pengunjung.
“Atas sambutan menggalakkan itu, PHI bercadang untuk menganjurkannya lagi pada tahun ini mungkin pada skala yang lebih besar.
“Tidak dilupakan adalah Penang International Halal Exhibition & Conference (PIHEC) yang akan berlangsung pada pada 23 hingga 25 Jun ini, jadi saya jemput orang ramai untuk hadir, pelbagai acara menarik, expo, jualan dan pelbagai aktiviti akan diadakan,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara sejurus menyampaikan hadiah kepada pemenang.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PHI, Fazil Irwan Som.
Hadiah utama cabutan bertuah berupa pakej percutian ke Turki lapan hari tujuh malam menjadi milik Wan Nur Amirah Othman dan Nur Azzlinda Mohd. Nor.
Empat pemenang saguhati cabutan bertuah Wan Aida Syaheera Wan Rasmi, Nurasyikin Zainuddin, Saharizan Mohamad Rabu dan Ramzee Azlan Ramly pula memperolehi set barangan elektrik.
Manakala hadiah pertandingan video TikTok berjaya dimenangi oleh Fazira Amira Abd. Karim dan Junaidah Idrus dengan masing-masing membawa pulang hadiah percutian ke Pangkor Laut/ Tanjung Jara.
Nur Amirah memberitahu pada awalnya dia menyangkakan panggilan yang diterima mengenai hadiah itu merupakan cubaan untuk menipu atau ‘scam’.
“Tetapi selepas dengar betul-betul dan ingat balik saya memang pergi ke acara tersebut barulah boleh percaya dan seronoklah dapat hadiah macam ini,” ujar suri rumah itu kepada pemberita.
Nur Azlinda turut senada dengan Nur Amirah sambil menyifatkan hadiah tersebut terlalu lumayan.
“Mula-mula ingat ‘scammer’, sebab sekarang kena berhati-hati dengan perkara ini, tentang hadiah ini memang seronok sangat sebab saya sendiri tidak pernah ke luar negara,” katanya yang bertugas sebagai juruteknik.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS