Dua pihak terima Skim ‘Rent-to-Own’, satu setuju beli rumah kos sederhana rendah, kata Exco

Admin

GEORGE TOWN – Dua pihak yang hilang kelayakan menghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis, lalu berkhemah beberapa hari di lobi Komtar, akhirnya bersetuju menerima tawaran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang untuk memiliki rumah kos rendah melalui Skim Sewa Beli (Rent-to-Own Scheme).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, sementara baki satu pihak lagi bersetuju membeli rumah kos sederhana rendah di Daerah Timur Laut, tanpa melalui skim sewa beli.

Menurut beliau, pihaknya gembira dengan perkembangan terbaru itu selepas beberapa siri rundingan dengan mereka yang berkenaan dibuat sebelum ini.

“Sebagaimana yang telah saya katakan sebelum ini, mereka yang hilang kelayakan untuk PPR bukan bermakna mereka hilang kelayakan untuk kategori (perumahan) yang lain.

“Apa yang berlaku, kita telah berbincang dengan beberapa penghuni yang berada di Komtar sehingga semalam, saya gembira untuk mengumumkan akhirnya mereka telah bersetuju menerima tawaran.

“Iaitu, dua (pihak) menerima tawaran rumah kos rendah melalui Skim Sewa Beli iaitu harga rumah pada RM42,000, dan Kerajaan Negeri tidak akan mengenakan 1 sen pun kadar faedah atas harga ini, yang mana tempoh sewa beli adalah 20 tahun.

“Dalam tempoh 20 tahun itu, ada ansuran bulanan iaitu RM175 dan bayaran penyelenggaraan iaitu RM58.30, yang membawa kepada jumlah besar bulanan RM233.30.

“Selepas tempoh 20 tahun itu, mereka akan menjadi pemilik (rumah kos rendah itu),” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 13 Mac 2019.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Exco Perdagangan Dalam Negeri & Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain turut sertai sidang media itu.

Difahamkan, daripada 22 pihak yang hilang kelayakan menghuni di PPR Taman Manggis, 11 pihak telahpun menyerah unit kediaman masing-masing secara sukarela kepada Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sementara, baki 11 lagi mengosongkan rumah masing-masing selepas langkah penguatkuasaan dilaksanakan.

Sehingga 12 Mac 2019, tinggal tiga keluarga sahaja berkampung di perkarangan depan Komtar, sebelum masing-masing bersetuju dengan pakej perumahan yang ditawar oleh Kerajaan Negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : LAW SUUN TING