Dua PPV khas bagi sektor peruncitan dibuka

PULAU TIKUS – Dua pusat pemberian vaksin (PPV) khas bagi Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi Sektor Peruncitan (RIVAC) dibuka di negeri ini bagi mempercepatkan lagi program imunisasi COVID-19.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa PPV khas untuk sektor peruncitan itu dibuka membabitkan dua lokasi iaitu Gurney Paragon Mall yang mula beroperasi pada 16 Ogos lalu serta Design Village Mall dekat Batu Kawan pada 18 Ogos ini.

“Di Gurney Paragon Mall, kapasiti harian yang disasarkan adalah 1,200 dos sehari dan akan berlangsung selama lima hari sehingga 20 Ogos ini untuk selesaikan suntikan dos pertama manakala dos kedua akan disambung pada September ini.

Ketua Menteri menyantuni salah seorang penerima vaksin semasa mengadakan lawatan ke PPV RIVAC dekat Gurney Paragon Mall sebentar tadi.

“Sehingga semalam, seramai 5,230 daripada 6,700 orang yang dijemput menyertai RIVAC telah mengesahkan penyertaan dan bakinya mungkin sudah dapat vaksin atau telah menerima janji temu melalui MySejahtera.

“Sementara itu, di Design Village Mall pula kuota yang diberikan adalah sebanyak 4,000 dos atau 800 dos suntikan sehari dan akan berlangsung selama lima hari sehingga 22 Ogos ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV RIVAC dekat Gurney Paragon Mall di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai; Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar serta Pengasas Kumpulan Hunza Properties, Datuk Seri Khor Teng Tong.

Urusan di PPP RIVAC berjalan lancar pada hari kedua dibuka.

Tambah Kon Yeow, Pulau Pinang sudah memasuki peringkat akhir pemberian vaksin bagi dos pertama dan dijangka mencapai 100 peratus menjelang awal bulan September.

“Ini bermaksud, kita ada tiga minggu lagi untuk menyelesaikan 100 peratus mereka yang telah mendaftar dengan MySejahtera bagi menerima suntikan pertama.

“Sehingga semalam, Pulau Pinang sudah mencapai 71.5 peratus bagi dos pertama manakala dos kedua pula 38.1 peratus dan dijangka mencapai 50 peratus pada akhir Ogos ini.

“Peratusan ini adalah penting kerana ia menjadi nilai ambang untuk kita beralih ke fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN),” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa kekurangan bekalan vaksin di beberapa PPV di negeri ini adalah bersifat sementara dan akan kembali normal dalam masa terdekat.

“Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan menyusun semula supaya isu kekurangan bekalan vaksin tidak mendatangkan impak terlalu ketara.

“Kita percaya pihak JKNPP akan melakukan penjadualan semula agar PPV boleh beroperasi secara optimum,” jelasnya.

PPV RIVAC turut menyediakan kemudahan tempat mengambil gambar.

Beliau dalam pada itu turut menafikan dakwaan bahawa PPV kendalian pertubuhan bukan kerajaan (NGO), One Hope Charity & Welfare (One Hope Charity) dekat Juru akan ditutup ekoran kekurangan bekalan vaksin.

“Saya ingin mengesahkan bahawa PPV One Hope Charity beroperasi seperti biasa untuk pemberian bagi suntikan dos pertama dan selepas 21 hari, mereka akan meneruskan dengan suntikan dos kedua.

“Malah, JKNPP turut memberi jaminan bahawa suntikan harian PPV berkenaan adalah sebanyak 720 dos bermula esok berbanding hanya 360 dos sebelum ini,” ulasnya.

Mengulas mengenai PPV bagi ibu mengandung, Kon Yeow memaklumkan bahawa golongan berkenaan akan menerima vaksin di klinik-klinik semasa mereka melakukan pemeriksaan berjadual.

“Mengikut JKNPP, ibu mengandung akan diatur untuk menerima vaksin semasa mereka hadir untuk pemeriksaan berjadual sebab kita tidak mahu mereka berbaris di PPV.

“Bagi golongan orang kurang upaya (OKU) pula, kita akan menunggu senarai penuh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum diatur bagi pemberian suntikan vaksin,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD