GEORGE TOWN – Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen memaklumkan bahawa Hospital Pulau Pinang (HPP) sedang menjalankan dua kerja menaik taraf berskala besar demi keselesaan rakyat.
Menurut beliau, projek menaik taraf tersebut adalah membabitkan blok ibu dan anak serta pembinaan blok baharu (blok pakar) yang terletak berhadapan dengan Padang Polo di sini.
“Saya percaya ramai yang perasan dengan situasi semasa di HPP, khususnya projek pembangunan blok ibu dan anak-anak bersama dengan satu lagi bangunan baharu di Blok A.
“Ini adalah antara projek yang sempat dilaksanakan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan kapasiti HPP, sekali gus membantu menangani kes-kes pada masa akan datang,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke Wad Onkologi Kanak-kanak HPP bersama-sama ASP Medical Group di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ASP Medical Group, Dato’ Dr. Tan Meng Lee dan Presiden ASP Medical Group, Dr. Doreen Yeap.
Sempena lawatan tersebut, ASP Medical Group menyampaikan sumbangan tunai dan permainan kepada 28 kanak-kanak di wad berkaitan sempena sambutan Tahun Baru Cina.
Difahamkan satu blok baharu 14 tingkat sedang dibina yang mana akan menempatkan klinik-klinik pakar dan wad pesakit.
Zi Sen berkata, perkara yang lebih penting adalah masyarakat perlu menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan dalam mengimbangi kapasiti di kemudahan-kemudahan kesihatan awam di negara ini.
“Tidak ada gunanya kalau kita tambah berapa banyak katil sekali pun sekiranya rakyat tidak sedar tentang kepentingan kesihatan mereka atau tidak mengamalkan hidup lebih sihat, maka ia tidak akan mencukupi.
“Kita harap masyarakat dapat memupuk gaya hidup sihat bagi mengelakkan sebarang penyakit, sekali gus mengurangkan jumlah pesakit di hospital awam,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD