SERI DELIMA – Pembentangan dua perkara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik mesti segera dimuktamadkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa dua perkara yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) adalah Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan RUU had jawatan Perdana Menteri selama dua penggal sahaja.
Beliau berkata demikian susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang memaklumkan bahawa RUU Anti Lompat Parti akan dibentangkan dalam sesi Parlimen bermula pada 28 Februari 2022.
“Dua perkara ini mesti dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang untuk mengelakkan kerajaan yang diundi dan dipilih oleh rakyat ditumbangkan atas sebab sebahagian wakil rakyat mereka lompat parti.
“Dua perkara ini perlu dipinda dalam Perlembagaan dan ia boleh dibuat (dalam sidang Parlimen) pada bulan Mac atau April (2022) ini,” responsnya kepada barisan media dalam Majlis Agihan Paket Makanan Sempena Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kawasan Parlimen Bukit Gelugor dekat Gelanggang Bola Keranjang Taman Kejiranan Karpal Singh Island Glades di sini pada 4 Februari 2022.
Menjawab soalan pemberita dalam acara berasingan selepas itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia melakukan pindaan terhadap RUU Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012 bagi menyelaraskan dengan undang-undang yang diputuskan di Parlimen.
Sebelum itu, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong memberitahu bahawa Pulau Pinang mungkin tidak memerlukan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara mengejut sebagaimana negeri-negeri lain memandangkan Kerajaan Negeri hari ini mendapat mandat rakyat yang kukuh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.
“Pihak pembuat dasar (iaitu Kerajaan Negeri) akan terus menghormati apa jua keputusan penduduk lokal Pulau Pinang pada PRU14 lepas.
“Kita juga berpendapat bahawa Pulau Pinang tidak memerlukan PRN seperti di beberapa negeri lain sebelum ini memandangkan PRU dijangka ada selepas pertengahan tahun ini (2022).
“Selagi majoriti rakyat Pulau Pinang memberi sokongan yang kukuh kepada Kerajaan Negeri hari ini, wakil rakyat dalam kalangan Ahli Parlimen, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli-Ahli Majlis (bagi kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan, PBT), kita akan terus memberikan khidmat sehingga PRU15 tiba,” ujarnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.
Sementara itu, ADUN Seri Delima pula, Syerleena Abd. Rashid memberitahu bahawa sebanyak 500 pek makanan halal diedarkan kepada komuniti lokal di Gelanggang Bola Keranjang Taman Kejiranan Karpal Singh Island Glades di sini, sementara 800 bungkusan lagi diedarkan dalam acara berasingan di Kompleks Hunza Greenlane Heights dekat Jalan Gangsa.
“Setelah kira-kira dua tahun kita tidak dapat menganjurkan acara sebegini akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya bersyukur kerana dapat mengadakan majlis ini secara ringkas dan sederhana sebagai menghargai kesabaran penduduk setempat mengharungi pelbagai cabaran akibat pandemik,” jelasnya.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU MOHD. RADZI & NOOR SITI NABILAH NOORAZIS