PANDEMIK COVID-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama hampir dua tahun sejak Mac 2020 sedikit banyaknya mengubah kehidupan Hanna Hang Cheok Ai, 48.
Demikian perkongsiannya dengan wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan DARWINA MOHD. DAUD (jurugambar) semasa sesi temubual dekat kedai butik barang-barang unik berasaskan rotan di Lot 28, Jalan Perniagaan Alma dekat Bukit Mertajam pada 18 Ogos 2022.
Hanna Hang memberitahu bahawa sebelum PKP, beliau pernah kerja makan gaji sebagai akauntan selama kira-kira 18 tahun di sebuah syarikat multinasional.
‘Berkurung’ akibat PKP, katanya lagi, membuatkan beliau berfikir untuk melakukan sesuatu dari rumah.
Tanpa sebarang pengalaman berkaitan pemasaran digital, beliau dengan dibantu oleh suadara lelakinya saling berkongsi pengetahuan dan semangat untuk terjun ke dalam dunia pemasaran digital.
“Saya mula dari tidak apa apa-apa, cuma saya dan suadara lelaki saya saling berkongsi antara satu sama lain tentang bagaimana untuk memuat naik barang dalam platform pemasaran digital.
“Kedai dalam talian saya juga mula dengan pelbagai kategori barangan, kerana semasa itu juga saya masih belum dapat mengenal pasti barangan yang mana paling laris.
“Sehingga suatu masa, saya mula sedar jenis barangan yang mana hanya boleh didapati di kedai dalam talian saya, semua barang-barang itu adalah berasaskan rotan seperti yang terdapat di kedai ini yang mana kebanyakannya adalah buatan dari Sarawak,” jelasnya yang kini merupakan Pengarah Urusan syarikat The Rattan House di sini.
The Rattan House, katanya kini memberi tumpuan kepada operasi pemasaran digital produk-produk rotan buatan negeri Sarawak.
“Kebanyakan adalah produk buatan negeri Sarawak, ada juga saya dapatkan produk rotan dari Indonesia, Thailand, Filipina dan sebagainya untuk di pasaran dalam platform digital seperti Shopee dan Lazada,” jelasnya lagi.
Untuk berada pada tahap sekarang, Hanna Hang memberitahu bahawa beliau sendiri memulakan perniagaan daripada ‘zero’.
Semasa PKP, Hanna Hang memberitahu bahawa beliau pernah mengikuti kelas dalam talian berkaitan bidang pemasaran digital yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).
Selain itu, Hanna memberitahu bahawa beliau pada tahun 2021 pernah menyertai Program Mentor Usahawan Wanita Pulau Pinang 2.0 (PWEMP 2.0) yang dianjurkan oleh agensi negeri itu.
“PWEMP 2.0 ini adalah suatu platform untuk melatih usahawan wanita di samping membina rangkaian dan sistem sokongan melalui bimbingan usahawan berpengalaman.
“Ini, suatu lagi program yang sangat membantu saya membina rangkaian perniagaan secara dalam talian dan secara fizikal pada peringkat tempatan.
“Oleh kerana program ini begitu memberi manfaat kepada saya terutama dalam memanfaatkan e-dagang pada tahun lepas (2021), pada tahun ini saya sekali lagi menyertai program ini sebagai mentor,” jelasnya lagi.
Tanpa menoleh ke belakang lagi, Hanna Hang yakin produk-produk rotan yang dipasarkan secara dalam talian dan secara fizikal menerusi The Rattan House akan menembusi pasaran asia suatu hari nanti.
“Saya ada tanggungjawab yang penting dengan minat saya berkaitan seni ini (iaitu) di samping membantu ‘Orang Ulu’ di Sarawak memasarkan produk-produk berasaskan rotan mereka dalam pasaran domestik, saya yakin produk ini mempunyai permintaan tersendiri dan boleh menembusi pasaran rantau asia suatu hari nanti.
“Kepada para usahawan khususnya wanita, jangan sama sekali kata ‘saya tidak tahu’, jangan berhenti belajar kerana tidak ada yang mustahil jika kita terus berusaha.
“Dengan sedikit pengalaman dan pengetahuan mengenai e-dagang, pada masa hadapan juga saya ingin mengadakan program ‘B2B’ atau Ahli Perniagaan dengan Ahli Perniagaan, bukan sahaja melibatkan usahawan domestik, malah pedagang-pedagang peringkat rantau Asia Tenggara.
“Terima kasih sekali lagi kepada Penang Digital dan PWDC yang telah memperkenalkan program PWEMP 2.0, suatu program yang banyak membantu saya memperluas rangkaian perniagaan The Rattan House sama ada secara fizikal atau secara dalam talian,” jelasnya lagi mengakhiri wawancara selama hampir 40 minit.
Informasi lanjut mengenai The Rattan House boleh diakses melalui portal https://www.therattanhouse.com atau hubungi Hanna Hang menerusi nombor telefon 014-3336683.