GEORGE TOWN – Keputusan sama ada Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan dibubarkan atau sebaliknya ekoran pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri hari ini, dijangka akan dapat diketahui dalam tempoh beberapa hari dari sekarang.
Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sejurus mempengerusikan mesyuarat tergempar Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang dekat Wisma DAP Jalan Rangoon di sini petang tadi.
“Kita telah menilai keadaan semasa serta mengambil keputusan, dan keputusan ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang akan bermesyuarat pada malam esok.
“Jadi, kita perlu menunggu mesyuarat CEC tentang sama ada DUN Pulau Pinang akan dicadangkan bubar atau tidak.
“Malah, kita juga akan memanggil mesyuarat Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang esok untuk menilai dan menentukan isu yang sama,” ujarnya yang juga merupakan Pengerusi DAP Negeri.
Hadir sama pada mesyuarat berkaitan ialah barisan Ahli Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang.
Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota membayangkan keputusan muktamad akan diambil selepas mengambil kira mesyuarat bersama-sama PH Negeri, CEC DAP Pusat dan mesyuarat PH peringkat Pusat,” ulasnya lanjut.