DUN Pulau Pinang ditangguhkan setelah bersidang selama 6 hari

GEORGE TOWN – Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Usul penangguhan persidangan dibaca oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota pada jam 5:40 petang dan dipersetujui sebulat suara.

Sebelum ditangguhkan, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Law Choo Kiang menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli-Ahli Yang Berhormat atas kerjasama sepanjang persidangan berlangsung di Dewan Sri Pinang sejak 1 November dan kemudian disambung semula pada 4 hingga 8 November 2019.

Terdahulu, dalam ucapan penutup Kon Yeow berkesempatan menzahirkan pengharapan agar Belanjawan 2020 yang disediakan oleh Kerajaan Negeri akan mencapai tema ‘Penang2030 Teras Kejayaan Kemakmuran Bersama’ yang ditetapkan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada ADUN-ADUN, jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan, sektor swasta serta seluruh rakyat negeri yang selama ini mendokong aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mengecapi kejayaan demi kejayaan kini.

Malah, Kon Yeow menyeru agar semua rakyat di negeri ini dapat bersatu-padu dan saling hormat menghormati kerana keharmonian yang dikecapi kini sangat mahal harganya dan wajib dipertahankan sampai bila-bila.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING