DUN Pulau Pinang sebulat suara sokong perintah ICJ, kecam kezaliman Israel

Admin
whatsapp image 2024 05 30 at 16.26.08

GEORGE TOWN – Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini sebulat suara menerima usul tanpa pemberitahuan menyokong perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 24 Mei lalu supaya serangan Israel ke atas Wilayah Rafah, Palestin dihentikan serta-merta.

Usul yang mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel itu dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung.

Sehingga ke hari ini, kekejaman peperangan (the atrocities of war) dan jenayah terhadap kemanusiaan yang sedang berlaku di Rafah adalah sangat dahsyat dan menimbulkan risiko besar.

“Berdasarkan laporan berita (antarabangsa), lebih 36,000 orang telah dibunuh, infrastruktur asas dimusnahkan dan seramai 1.1 juta rakyat Palestin mengalami risiko kebuluran.

“(Dan) tanpa menghiraukan perintah mahkamah (ICJ), undang-undang antarabangsa, Israel masih lagi meneruskan serangan ketenteraan di kem-kem pelarian.

“Oleh itu, saya merasakan adalah amat penting untuk kita dalam Dewan ini, sekali lagi menunjukkan sokongan terhadap perintah ICJ dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel,” katanya.

Dalam pada itu, Yang diPertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Law Choo Kiang memaklumkan bahawa beliau mengakui dan bersetuju agar usul tersebut sekali lagi dibacakan di dalam Dewan.

“Kita telah sedia maklum bahawa usul mengecam keganasan rejim Israel telah diluluskan di Dewan ini pada sesi yang lepas

“Namun dengan perkembangan terkini (susulan) keputusan daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa maka saya bersetuju sekali lagi usul ini dibawa bagi menyatakan pendirian yang lantang dan jelas serta bersolidariti dengan rakyat Palestin,” ujarnya.

Usai usul dibaca, semua Ahli-Ahli Yang Berhormat berdiri menyatakan sokongan dan dipersetujui sebulat suara tanpa bahas.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN