PADANG KOTA – Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang memberi jaminan bahawa Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Ke-14 yang akan bersidang esok, 17 April akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau berkata demikian sejurus mengadakan tinjauan terhadap persediaan akhir DUN yang akan dilangsungkan di Dewan Sri Pinang dekat sini.
Menurut beliau, DUN kini dalam keadaan siap siaga sepenuhnya meskipun persidangan kali ini adalah berbeza dengan kedudukan setiap ADUN diatur mengikut jarak sosial yang disarankan demi keselamatan kesihatan semua khususnya.
“Disebabkan kita masih berada di dalam tempoh PKP, maka persidangan kali ini akan dipendekkan dengan jangkaan (semuanya) selesai sebelum jam 11 pagi.
“Hanya Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Setiausaha Kerajaan Negeri, ex-officio dan beberapa petugas essential services sahaja dibenarkan masuk dan berada di pekarangan DUN sepanjang persidangan.
“Semua YB (Yang Berhormat) dan Exco juga telah dimaklumkan bahawa tiada pembantu khas atau petugas daripada pejabat Exco dibenarkan berada di DUN kali ini,” tegasnya.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Setiausaha DUN, M. Maheswari.
Perjalanan persidangan DUN boleh dicapai melalui live telecast menerusi laman sesawang http://dun.penang.gov.my.
Dalam pada itu, Choo Kiang memberitahu bahawa semua ADUN adalah wajib untuk mengisi borang saringan kesihatan yang disediakan oleh pihak JKNPP.
“Ia adalah borang standard yang digunakan di semua negeri, justeru YB perlu mengisinya untuk rekod pihak JKNPP,” ujarnya sambil memaklumkan sebanyak dua hingga tiga pegawai kesihatan akan ditempatkan di Dewan Sri Pinang esok.
Persidangan esok akan dimulakan dengan ucapan Yang Di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas disusuli dengan ucapan Ketua Pembangkang DUN, dan Ketua Menteri dijangka memberikan ucapan berserta pembentangan usul-usul.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ALVIE CHENG