GEORGE TOWN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini menyokong sebulat suara usul tanpa pemberitahuan berhubung ucapan provokasi bersifat ekstremis oleh Menteri Besar Kedah yang meragui kedaulatan negeri Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mempertahankan kedaulatan negeri ini selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah yang mana sekiranya tidak berhati-hati dengan ucapannya, ia boleh mendedahkan beliau kepada kesalahan di bawah Akta Hasutan kerana ia menimbulkan perasaan ’kurang senang’ dalam kalangan penduduk kedua-dua negeri.
“Perkara (yang dibangkitkan) ini merupakan persoalan undang-undang yang serius kerana secara tidak langsung mempersoalkan kedudukan Yang Dipertuan Agong sebagai ‘penjaga’ negeri-negeri yang tidak mempunyai Raja,” ujarnya ketika membahaskan usul tersebut pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini hari ini.
Jelas Kon Yeow lagi, hanya dengan berpandukan kepada sebuah buku yang ditulis oleh sejarawan R. Bonney bertajuk ‘Kedah 1771-1821: The Search for Security and Independence’, adalah tidak wajar digunakan sebagai bukti bagi merendahkan atau mengatasi perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Perlembagaan Persekutuan (secara jelas) menyebut tentang kedaulatan dan kedudukan undang-undang negeri-negeri termasuk Pulau Pinang dan Kedah.
“Selain itu, Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 71 yang dibaca bersekali Jadual Kelapan juga merupakan contoh yang menggambarkan pengiktirafan undang-undang yang diberikan kepada Pulau Pinang sebagai satu negeri yang ada kedaulatannya tersendiri selepas digugurkan statusnya sebagai negeri Selat melalui proses kemerdekaan.
“Malah, status untuk sesebuah negeri itu, yang turut termasuk negeri Pulau Pinang, untuk menikmati dan melaksanakan kedaulatannya, sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Negeri boleh dilihat dalam Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan tersebut,” hurai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu.
Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Negeri-Negeri Persekutuan tediri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu. Manakala, Perkara 71 memperuntukkan jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri.
Terdahulu, usul yang dibawa oleh ADUN Air Putih, Lim Guan Eng antara lain mencadangkan supaya DUN Pulau Pinang mengambil ketetapan dengan mendesak Menteri Besar Kedah menarik balik kenyataan dan memohon maaf kepada rakyat Pulau Pinang kerana bersikap ‘tidak mesra’ serta menghina keabsahan Perlembagaan Persekutuan.
“Sememangnya 1.8 juta rakyat Pulau Pinang amat taat setia kepada negeri ini serta mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, oleh itu, ucapan mengapi-apikan sentimen ekstremis secara terbuka meragui kedaulatan dan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat di negeri ini.
“Kesal kerana kenyataan tersebut juga secara tidak langsung mempertikai kuasa mutlak Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong yang melantik Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang.
“Malah tindakan beliau berlawanan dengan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan yang menekankan bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang utama di Malaysia,” katanya sambil menyeru supaya semua pihak dapat hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati.
Antara perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang turut mengiktiraf kedaulatan negeri Pulau Pinang secara tidak langsung adalah Perkara 88 Perlembagaan Persekutuan yang mana merujuk Pemakaian Perkara 83 dan 87 bagi Negeri yang tidak mempunyai Raja; Perkara 2 iaitu kuasa-kuasa Perlembagaan berhubung persempadan; Akta Kedah Dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985 (Akta 325) berhubung persetujuan pengubahan sempadan dibuat antara Negeri Kedah dan Negeri Pulau Pinang, dan Akta ini dibuat tertakluk kepada persetujuan Majlis Raja-Raja.
ADUN Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil; ADUN Penaga, Mohd. Yusni Mat Piah dan ADUN Sungai Dua yang juga Ketua Pembangkang DUN Pulau Pinang, Muhamad Yusoff Mohd. Noor antara yang mengambil bahagian dalam perbahasan usul berkenaan.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS