GEORGE TOWN – Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini menerima usul menyokong perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memerintah Israel menghentikan serangan ke atas Wilayah Rafah dengan serta-merta.
Semasa membentangkan usul tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung berkata tindakan tentera Israel menyerang Rafah telah menyebabkan satu krisis kemanusiaan dahsyat berlaku kepada ratusan ribu penduduk di Palestin.
“Sehingga hari ini, serangan tentera Israel terhadap Gaza telah menyebabkan pembunuhan dan kematian lebih 35,000 nyawa yang kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, termasuk juga kemusnahan hampir semua infrastruktur dan tempat tinggal.
“Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), setakat 15 Mei 2024 lebih daripada 800,000 penduduk terpaksa berpindah dan kini seramai 1.1 juta penduduk mengalami ancaman kelaparan dan kebuluran.
“Di samping itu, tentera Israel juga turut menutup lintasan utama penghantaran bantuan antarabangsa untuk makanan dan ubatan sehingga menyebabkan penduduk Palestin terputus sumber bekalan keperluan asas.
“Disebabkan situasi krisis kemanusiaan yang berterusan dan pada tahap kritikal, maka saya memohon untuk membawa satu usul tanpa pemberitahu,” katanya.
Usul tanpa pemberitahu itu dikemukakan berdasarkan Peraturan 34(8) Peraturan-Peratuan Majlis Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Usul yang dibacakan tersebut berbunyi :
“Bahawasanya Dewan yang mulia ini menyambut baik dan menyokong sepenuhnya Perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 24 Mei 2024 yang mengarahkan Israel menghentikan dengan serta merta serangan ketenteraannya terhadap wilayah Rafah di Palestin.
“(Dan) mengecam serta mengutuk sekeras-kerasnya keengganan Israel mematuhi Perintah ICJ bertarikh 24 Mei 2024 dan tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa, dengan sewenang-wenangnya meneruskan serangan ke atas wilayah Rafah sehingga ke hari ini.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS