DUN Pulau Pinang terima usul solidariti rakyat Palestin tanpa bahas

Admin

GEORGE TOWN – Sekalian anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada pagi ini menerima usul solidariti terhadap rakyat Palestin atas kekejaman dan kezaliman Zionis-Israel.

Semasa membentangkan usul tersebut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata ia adalah berdasarkan Peraturan 34 (viii) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Menurut Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi itu lagi, usul yang dibentangkan itu adalah selari dengan ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak sempena Majlis Perasmian Pembukaan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 17 November lepas.

Speaker Dewan, Dato’ Law Choo Kiang memutuskan bahawa usul tersebut diterima tanpa bahas susulan semua ADUN bangun menyatakan sokongan pada usul tersebut.

MOHAMAD Abdul Hamid

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid semasa membuat ucapan penggulangan semalam (23 November 2023) antara lain turut menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan Negeri Pulau Pinang turut mengecam segala bentuk tindakan tidak berperikemanusiaan dan jenayah perang yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel terhadap masyarakat awam Palestin.

Sebagai tanda solidariti, Mohamad yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada 13 Oktober lepas telahpun melancarkan Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin, di samping mengarahkan seluruh masjid di negeri ini untuk mengadakan solat hajat dan bacaan qunut nazilah setiap Jumaat.

Tidak setakat itu sahaja, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung berkata bahawa Himpunan Aman Solidariti Rakyat Palestin turut diadakan seusai Solat Jumaat di Masjid Jamek Simpang Tiga dekat Tasek Gelugor dengan kehadiran Tun Ahmad Fuzi sendiri.

Tambah beliau, Himpunan Kasih Gaza turut diadakan di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah pada 29 Oktober lepas sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Lebih penting, menurut beliau, Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang menyumbang RM50,000 bantuan kemanusiaan rakyat Palestin susulan keputusan Mesyuarat Exco yang dipengerusikan sendiri oleh Kon Yeow sendiri.

“Sejumlah RM 1,223,516.28 juta telah berjaya dikumpul melalui sumbangan termasuk dari MAINPP, ahli-ahli korporat, kakitangan kerajaan serta swasta dan orang ramai telah diserahkan kepada pihak Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) yang diwakili oleh Tuan Badereddin Seyam selaku Pengerusi PCOM pada 10 November lalu,” ujarnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHMAD AMIR IRSYAD OMAR