E-Kantin mudahkan pelajar, ibu bapa dan pengusaha kantin sekolah

Admin

PANTAI JEREJAK – Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyeru para pengusaha kantin  sekolah sekitar parlimen tersebut untuk beroperasi secara digital.

Katanya, pengoperasian melalui platform digital adalah selari dengan hasrat Kerajaan Negeri menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pintar.

“Hari ini kita dapat saksikan E-Kantin yang diusahakan  Infinitepay Sdn. Bhd. memudahkan urusan jual beli makanan dan minuman di sekolah oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka.

“Melalui E-Kantin, ibu bapa dapat menjimatkan masa dan wang dengan membuat pesanan awal, pilihan menu yang pelbagai di samping meningkatkan hasil jualan pengusaha yang sebelum ini terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Aplikasi ini amat mudah, tambahan pula di zaman pandemik ini, sudah banyak perniagaan bergerak ke arah transaksi tanpa tunai dan untuk jadi negeri pintar kita harus selari dengan teknologi,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Pelancaran E-Kantin oleh Infinitepay Sdn. Bhd. melalui aplikasinya WIIW di Krystal Point baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Ekskutif Infinitepay Sdn. Bhd., Danny Jang; Pengarah S & J Bar Code Sdn. Bhd., Tan Eng Kean dan wakil dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keong Hoe, Sungai Dua.

Bercakap kepada pemberita, Danny Jang memberitahu, SJKC menjadi sekolah perintis bagi E-Kantin.

“Platform ini menyediakan menu bergambar dan harga yang menarik untuk menambat selera pelajar dan bantu ibu bapa menguruskan makanan para pelajar di sekolah.

“Respons diterima juga menunjukkan peningkatan dari segi jualan di kantin dan sangat praktikan di kala pandemik COVID-19 dan yakin ia mampu diperluaskan lagi.

“Selain itu, cara ini membantu mengurangkan berlakunya pembaziran makanan bagi pihak pengusaha,” ujarnya.

Pengusaha kantin yang berminat untuk mendaftar boleh menghubungi Infinitepay Sdn. Bhd. di talian 011-11110051 untuk keterangan lanjut serta cara pendaftaran.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI