SEBERANG JAYA – Dalam menyemai rasa cintakan alam sekitar, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) baru-baru ini menganjurkan Program e-Permainan Pendidikan Hijau dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Program yang merupakan sebahagian daripada kempen kesedaran alam sekitar itu turut bermatlamat menggalakkan generasi muda kini peka akan isu berkaitan alam sekitar.
Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program ini mensasarkan penyertaan daripada sekolah-sekolah sekitar Seberang Perai.
“Program e-Permainan Pendidikan Hijau adalah suatu bentuk pendidikan digital atau digital education tools yang lebih dikenali sebagai ‘Edutainment’, iaitu sambil bermain diselitkan juga mesej-mesej berkaitan alam sekitar yang berasaskan pedagogi pendidikan.
“Sebanyak tiga jenis permainan dibentuk di bawah e-permainan ini iaitu pengkomposan (compost hero), perang terhadap sampah (rubbish war) dan pencemaran lautan (ocean pollution),” ujarnya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah E-Permainan Pendidikan Hijau di Ibu Pejabat MPSP dekat sini 11 Mei lalu.
Hadir sama, Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod; Dekan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif UPSI, Profesor Madya Dr. Mohd. Zahuri Khairani dan Ketua Projek e-Permainan Pendidikan Hijau, Profesor Dr. Mohd. Fauzi Sedon @ Mdon daripada Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif UPSI.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPSI, Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran ketika berucap memaklumkan bahawa program tersebut adalah inisiatif memasyarakatkan warga UPSI demi manfaat umum.
“Secara tidak langsung, melalui e-permaianan ini, para pelajar sekolah dapat mengenali alam sekitar dan berasa seronok kerana aktiviti sebegini akan menjadi budaya yang diterjamahkan secara realiti dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Rozali memaklumkan pihaknya turut bekerjasama dengan UPSI bagi menjayakan Program ‘Economical Food Waste Composter’ (EFWC), iaitu suatu inovasi pengurusan sisa makanan menggunakan kaedah pengkomposan.
“Sisa-sisa makanan atau sisa-sisa buangan dapur akan diproses oleh mesin khas menggunakan motor untuk pengudaraan dan pembiakan mikroorganisma bagi mempercepatkan proses pengkomposan.
“Sehingga kini, kaedah EFWC diguna pakai oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Damai, Bukit Mertajam; Pangsapuri Taman Pandan, Butterworth; Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Simpang Ampat di Taman Belibis, Seberang Perai Selatan dan Restoran De Pauh di Permatang Pauh.
“Malah, mesin tersebut turut dihadiahkan kepada Yang di-Pertua Negeri (TYT) untuk digunakan di kediaman beliau di Seri Mutiara,” jelasnya.
Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: MPSP