E-Sport ❤️PENANG semarak sosial rakyat, buka lembaran baru pasca COVID-19

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap para peserta dapat bersaing dengan penuh semangat kesukanan bersempena penganjuran Kejohanan E-Sport ❤️PENANG di sini hari ini.

 

Beliau menyeru supaya semua yang terlibat supaya menjadikan platform berkaitan sebagai wadah untuk mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat Pulau Pinang tanpa mengira etnik kaum, agama dan bangsa.

 

“Marilah kita bersama-sama mewujudkan Pulau Pinang yang terus berkembang maju dalam transformasi digital inklusif untuk mencapai ekonomi digital yang berdaya saing dan progresif, sekaligus sebagai sebuah pusat pembangunan industri e-sport dalam negara,” katanya pada majlis perasmian kejohanan berkaitan.

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyifatkan bahawa penganjuran berkaitan merupakan antara platform yang diperkenalkan untuk menyemarakkan semula kehidupan sosial rakyat pasca COVID-19.

 

“Selama lebih dua tahun berhadapan dengan pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19, kini tiba masanya lembaran baharu dibuka menerusi pendekatan menyeluruh kepada masyarakat.

 

“Seiring dengan perkembangan inilah yang mendorong Kerajaan Negeri untuk tidak melepaskan peluang menganjurkan kejohanan ini yang mana membabitkan dua jenis permainan iaitu Mobile Legends Bang Bang dan Tekken 7.

 

“Hadiah terkumpul yang ditawarkan adalah berjumlah RM10,000,” ujarnya sambil menjelaskan bahawa pusingan kelayakan telah berlangsung pada 20 Ogos lalu.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR