BATU MAUNG – Demi menjayakan projek pertanian bandar, Pusat Pertanian Relau sejak dua minggu lepas telahpun mengedar 1,000 kampit tanah hitam organik kepada 10 kelompok sasar sekitar Daerah Barat Daya.
Exco Perdagangan Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain memberitahu bahawa kelompok penerima termasuk persatuan penduduk, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), jawatankuasa surau dan individu-individu yang berminat dalam aktiviti pertanian bandar.
“Jadi, inisiatif ini adalah selaras dengan Visi Penang2030 iaitu mahu negeri hijau, pintar dan berteraskan keluarga yang menginspirasikan negara.
“Saya berharap penerima yang ada tanah lapang, dapat mula bercucuk tanam sayur-sayuran atau pokok herba untuk keperluan komuniti sendiri, manakala lebihan hasil dapat dijual untuk menjana pendapatan tambahan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung pada 12 Disember 2020.
Dalam pada itu, Abdul Halim turut merakamkan penghargaan atas penganjuran bersama kempen pertanian bandar pada peringkat komuniti setempat, antara Pejabat Pertanian Relau dan Pusat Khidmat ADUN Batu Maung.
Abdul Halim turut menyampaikan alat pengimbas suhu badan automatik kepada tujuh penganjur pasar malam setempat.
Sebelum itu, Penolong Pegawai Pertanian, Ahmad Razali Ahmad @ Abdul Razak turut menyampaikan taklimat ringkas mengenai peri penting pertanian bandar.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB