SEBERANG JAYA – Sebanyak 2,814 unit perangkap nyamuk dan serangga dikenali mymat diedar oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin kepada komuniti setempat sekitar Gerbang Tuna, Lorong Tuna dan Rumah Pangsa Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.
Afif yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan berkata, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM188,000 untuk menyediakan 4,700 unit mymat secara percuma di tiga kawasan terpilih yang pernah diklasifikasikan sebagai lokaliti wabak sebelum ini.
Selain Seberang Jaya, jelasnya, dua lokaliti projek perintis mymat lain adalah di Flat Seri Delima dekat Sungai Ara dan Taman Seri Damai dekat Batu Lanchang.
“Ini projek perintis Kerajaan Negeri dengan Jabatan Kesihatan Negeri…projek perintis ini selama enam bulan mulai Jun.
“Kerajaan Negeri edar secara percuma dan jika projek ini berjaya, Kerajaan Negeri akan perluaskan kegunaan mymat ini di seluruh negeri,” ujarnya kepada pemberita di Pusat Khidmat JKKK Jalan Tenggiri di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Penolong Pengarah (Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Muhamad Fariz Othman, Abdul Jalil Che Ros (Pegawai Khas ADUN Seberang Jaya) dan Mohamad Khadari Mat Salleh (Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti, JKKK Jalan Tenggiri).
Sebelum itu, Ahli Kaji Serangga dari Pejabat Entomologi Pulau Pinang, Che Mohaiddin Ngesom menyampaikan penerangan mengenai penggunaan mymat serta kaedah mencegah penularan wabak Aedes dan virus zika.
Pada majlis sama, Afif turut menyampaikan ‘hamper Ramadan’ kepada lebih 150 penerima terpilih, sumbangan JKKK Jalan Tenggiri dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).