Edar 500 bekas juadah berbuka, PPK tidak abai rakyat

Admin

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

TELOK BAHANG – Sejumlah 500 bekas juadah berbuka yang berisi nasi minyak berserta lauk diedarkan kepada penduduk sekitar Kampung Jalan Baru di sini baru-baru ini.

Menurut Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Telok Bahang, Datuk Abdul Halim Hussain, edaran juadah berbuka adalah hasil inisiatif Pusat Khidmat PPK sendiri.

“Sungguhpun kita tahu Telok Bahang adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun, penduduk di kawasan ini tidak pernah diabaikan.

“Kerajaan Negeri tidak pernah pilih bulu dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan, kita bagi semua,” ujar Abdul Halim ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambahnya, sepanjang Ramadhan tahun ini selain penyampaian juadah berbuka puasa, Pusat Khidmat PPK turut menyampaikan sumbangan hamper dari Pusat Urus Zakat (PUZ) dan duit raya kepada fakir miskin dan ibu-ibu tunggal di sini.

“Saya berharap dengan penyampaian juadah berbuka dan juga sumbangan dari Pusat Urus Zakat (PUZ) dapat memberi sedikit kesenangan dan kegembiraan kepada penerimanya,” katanya di sini baru-baru ini.