BALIK PULAU – Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik mengadakan edaran juadah berbuka kepada penduduk setempat dekat Balik Pulau sebagai simbolik kongsi rezeki.
Menurutnya, edaran tersebut diadakan bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk turut menikmati juadah berbuka.
“Istimewanya kali ini saya membuat pesanan juadah dari peniaga-peniaga lokal di sekitar Balik Pulau bagi membantu perniagaan mereka juga.
“Di samping itu, penduduk setempat berkesempatan menikmati juadah yang sedap-sedap pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini,” ujar beliau ketika ditemui di Pusat Khidmat Parlimen Balik Pulau baru-baru ini.
Pada sesi tersebut, Muhammad Bakhtiar turut berkongsi jenis-jenis makanan yang telah diedarkan kepada penduduk yang mula beratur sejak jam 6.30 petang.
“Sebanyak lapan jenis aneka juadah berbuka disediakan termasuklah nasi kandar, nasi minyak, nasi ulam, roti jala, samosa dan lain-lain lagi.
“Menu yang diedarkan akan ditukar setiap hari bagi menonjolkan kelainan dan memberi peluang kepada semua mencuba menu baharu yang disediakan,” katanya sambil menekankan lorong khas untuk warga emas juga disediakan untuk memudahkan proses edaran.
Kesempatan sama, Muhammad Bakhtiar turut menyampaikan sumbangan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Bahang.
“Hari ini juga, saya turut menyumbangkan 100 bungkus nasi tomato di surau berdekatan serta memberi sumbangan wang tunai sebanyak RM3,000 untuk menaik taraf kemudahan dan keselesaan pengguna.
“Di samping itu, saya juga turut menyumbang RM100 kepada beberapa peniaga di sekitar sini (Teluk Bahang) sebagai tanda sedekah kepada penduduk setempat,” katanya lagi.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI