Eden At Botanica.CT, contoh baik organisasi korporat ke arah perubahan sosial lebih bagus  

KETUA Menteri (tengah) diiringi Jagdeep Singh Deo (dua dari kiri) menyaksikan acara menandatangani perjanjian usahasama projek tersebut di sini pada 22 September 2020.

PULAU TIKUS – Tidak lama lagi Pulau Pinang mungkin akan menjadi negeri pilihan untuk pesara serta warga emas menghabiskan sisa hidup mereka, apabila projek Eden at Botanica.CT yang menelan belanja kira-kira RM180 juta siap sepenuhnya di Balik Pulau.

JAGDEEP Singh Deo (tengah) dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri (kanan) di sini tadi.

Bercakap kepada pemberita, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa memberitahu bahawa projek perumahan bersepadu dengan kelengkapan kemudahan jagaan kesihatan yang diperlukan oleh warga emas sebegitu sebenarnya telah wujud di negara maju seperti Australia, juga di negeri Sarawak.

Namun, menurut beliau, di negara ini termasuk Pulau Pinang masih belum ada garis panduan khusus bagi projek perintis yang dihasratkan oleh dua firma swasta, Eden-On-The-Park Sdn. Bhd. (Eden-On-The-Park) dan Botanica Hills Sdn. Bhd. (Botanica Hills) iaitu anak syarikat Kumpulan MTT.

Justeru, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata bahawa Kerajaan Negeri akan melihat model bandar penempatan khusus untuk warga emas yang telah sedia ada serta aspek perundangan berwajib terlebih dahulu, ketika berbincang dengan kedua-dua pihak firma berkenaan.

“Projek ini masih dalam proses perancangan dan perjanjian usahasama yang telah disaksikan tadi secara asasnya melibatkan dua pihak (bukan kerajaan).

“Pastinya (permohonan pelan kebenaran merancang bagi projek ini) masih belum diluluskan oleh Kerajaan Negeri dan kita akan terus berbincang dengan pihak berkaitan mengenai projek perintis ini,” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow, selepas menyaksikan acara menandatangani perjanjian usahasama projek tersebut di sini pada 22 September 2020.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail turut menyaksikan acara menandatangani perjanjian usahasama tersebut antara Pengarah Eksekutif Kumpulan MTT, Datuk Seri Kenny Ong dan Pengarah Urusan Eden-On-The-Park, Victor Fong.

Difahamkan, Eden-On-Te-Park telah menjalankan operasi sebuah pusat jangaan kesihatan di Kuching, Sarawak.

Susulan itu, Eden-On-The-Park dan Botanica Hills berhasrat untuk saling bekerjsama memajukan projek Eden At Botanica.CT yang terdiri oleh projek pembangunan bersepadu seperti unit kediaman vila serta dua blok kondominium dengan kelengkapan jagaan kesihatan khusus untuk warga emas serta pesara.

KETUA Menteri

Sebelum itu, Kon Yeow ketika berucap menyifatkan RM180 juta pelaburan domestik bagi projek Eden At Botanica.CT tersebut adalah sebagai simbol keyakinan terhadap masa depan Pulau Pinang khususnya Balik Pulau.

“Dalam dekad yang akan datang, jumlah penduduk Pulau Pinang yang berumur lebih daripada 60 tahun, termasuk saya, adalah hampir dua kali ganda, menambahkan lagi beban kepada perkhidmatan kesihatan kita serta meningkatkan permintaan untuk penjagaan orang tua.

“(Justeru,) projek ini adalah contoh yang baik daripada organisasi korporat yang mempunyai perhatian terhadap perkembangan semasa (untuk memenuhi) keperluan masa depan serta bersedia untuk mengambil langkah proaktif ke arah perubahan sosial yang lebih bagus.

“Saya memuji rakan JV atas dedikasi dan komitmen anda dalam hal ini,” ulasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Di samping itu, Kon Yeow turut menyifatkan usaha kedua-dua firma korporat tersebut adalah menepati gagasan pembangunan masa depan negeri sehingga tahun 2030 iaitu Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Dalam merealisasikan Visi Penang2030, saya menggesa entiti korporat lain untuk memimpin dalam membawa kembali kepada masyarakat kita agar Pulau Pinang mengekalkan nilai untuk kebaikan rakyat, yang tua dan yang muda,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALVIE CHENG