Edisi ke-3 Family Fun Run sasar 2,000 penyertaan

Admin

GEORGE TOWN – Edisi ke-3 Family Fun Run – Run With Flying Colors – PASS IT ON, Mac depan dijangka mampu menarik kira-kira 2,000 peserta.

Larian berkenaan dianjurkan oleh Junior Chamber International Pearl (Malaysia) atau lebih dikenali sebagai JCI Pearl dan disokong oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng berkata penganjuran Family Fun Run bersempena Hari Sambutan Wanita Sedunia (IWD)
tersebut bagi menyampaikan mesej ‘Each for Equal, I for Inclusiveness’ kepada orang ramai.

“‘Each for Equal’ adalah tema sama yang bakal digunakan ketika sambutan IWD tahun ini, sementara ‘I for Inclusiveness’ adalah tema yang digunakan di sambutan IWD peringkat negeri nanti.

“Kedua-dua tema peringkat kebangsaan dan negeri ini digabung serta diangkat menjadi tema rasmi penganjuran Family Fun Run yang bertujuan untuk memperkasakan serta memberi inspirasi kepada setiap warganegeri terhadap pembinaan masyarakat berketerangkuman gender,” ujarnya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng; Anicial Teh Kooi Luan (Pengerusi Penganjur Program), wakil-wakil tajaan korporat dan rakan-rakan strategik penganjuran.

Family Fun Run – Run With Flying Colors – PASS IT ON dijadualkan berlangsung pada 15 Mac depan, bermula jam 7:00 hingga 10:30 pagi bertempat di Automall Karpal Singh Drive.

Yuran penyertaan bagi kategori individu adalah RM38, RM120 (4 peserta) dan RM380 (15 peserta).

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 28 Februari ini dan pendaftaran bagi kategori individu dan 4 peserta boleh dilakukan melalui aplikasi mudah alih Huawei serta JomRun.

Manakala, bagi pendaftaran kelompok 15 peserta, sila hubungi pihak penganjur di talian 019 – 5131 539 dan 012 – 5893 132.

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD.