Edisi khas : Halal Penang – nadi industri halal di Pulau Pinang

Admin

PENANG Port Sdn. Bhd. telah diberi pengiktirafan MS19001:2005 oleh SIRIM QAs International dan menjadi pelabuhan pertama di Malaysia memperolehinya.
PENANG Port Sdn. Bhd. telah diberi pengiktirafan MS19001:2005 oleh SIRIM QAs International dan menjadi pelabuhan pertama di Malaysia memperolehinya.

 

NEGERI Pulau Pinang, melalui pentadbiran Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT) telah membuktikan rekod cemerlang dalam pelbagai lapangan termasuk perkembangan pesat dalam proses perbandaran, pertumbuhan sosio-ekonomi yang mampan, budaya sosio-politik yang amar makruf nahi mungkar, prestasi pelaburan yang meningkat dan pembangunan kawasan perindustrian serta perkembangan industri halal.

Bukan sahaja Kerajaan Negeri yang memainkan peranan yang agresif dalam membangunkan Pulau Pinang sebagai salah sebuah pusat industri bertaraf antarabangsa, malah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut memainkan peranannya dalam membangunkan, mengkoordinasi serta mempromosikan inisiatif antarabangsa ini.

Melalui PDC, PIHH Development Sdn. Bhd. atau lebih dikenali dengan Halal Penang telah berjaya mempromosikan Hab Halal Pulau Pinang di mata dunia. Inisiatif yang dijalankan adalah lebih berintegriti dan bersepadu jika dibandingkan dengan Hab Halal yang terdapat di negeri-negeri lain seperti Sawarak (Hab Halal Tanjung Manis), Selangor (Hab Halal Selangor), Negeri Sembilan (Techpark @ENSTEK dan Hab Halal Pedas), Melaka (Hab Halal Melaka) dan Kelantan (Hab Halal Kelantan) yang hanya mempromosikan kawasan perindustrian fizikal halal atau ‘Halal Park’ dan bukannya hab secara menyeluruh.

Hab Halal di Pulau Pinang dibangunkan melalui pendekatan penjenamaan dan berasakan konsep holistik yang dikembangkan secara kluster atau bahagian. Terdapat 10 kluster iaitu Industri Pembuatan dan Pengilangan, Asas Tani, Logistik, Asas Sains, Penyelidikan dan Pembangunan, Kewangan Islam, Pelancongan dan Hospitaliti, Sumber Tenaga Manusia, Promosi dan Pemasaran serta Pembangunan Usahawan Halal.

PIHH Development Sdn. Bhd atau lebih dikenali sebagai Halal Penang telah berjaya mempromosikan Hab Halal Pulau Pinang di mata dunia.
PIHH Development Sdn. Bhd atau lebih dikenali sebagai Halal Penang telah berjaya mempromosikan Hab Halal Pulau Pinang di mata dunia.

Halal Penang, ditubuhkan pada 2008 dengan bermodalkan RM1 juta yang merangkumi kos penyelenggaraan, emolumen dan pengendalian pejabat, telah berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM193,490.00 dari pelbagai aktiviti, khidmat dan promosi yang dijalankan, sungguhpun, Halal Penang merupakan sebuah organisasi yang tidak menjana pendapatan (non-profit organization).

Malah bagi tahun 2011, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukkan sejumlah RM500,000 kepada Halal Penang untuk memperluaskan jaringan dan penyertaan daripada pelbagai negara untuk melabur dan turut serta dalam pembangunan industri halal di Pulau Pinang. PDC turut memperuntukkan RM500,000 bagi tujuan perkembangan industri halal di Hab Halal, Bukit Minyak. Bahkan Halal Penang turut mengambil bahagian dalam pameran perdagangan dan persidangan industri di peringkat antarabangsa. Antaranya ‘Halal Industry & Services Conference 2011’ di Kuwait, ‘Paris International Halal Expo 2011’ di Perancis, ‘World Halal Forum’, ‘World Halal Research’ dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain penyertaan dalam persidangan, Halal Penang turut mengadakan misi lawatan ke Utara India bersama Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan syarikat gelatin halal tempatan untuk promosi dan pemasaran. Malah, promosi melalui media global turut mendapat perhatian apabila Japan Times (November 2010) mengadakan liputan khas inisiatif halal Kerajaan Negeri dalam membangunkan industri tersebut. Bukan itu sahaja, Halal Penang bakal menerbitkan ‘Muslim Penang Traveller’s Guide’, iaitu terbitan khas yang akan memuatkan pelbagai informasi halal termasuk destinasi, hotel dan premis makanan halal di Pulau Pinang khusus untuk para pelancong.

Di suatu sudut yang lain, Kerajaan Negeri telah menyediakan sebidang tanah seluas 100 ekar di bahagian ‘Penang Science Park’, Bukit Minyak untuk dibangunkan sebagai Taman Perindustrian Halal Pulau Pinang (TPHPP). Taman tersebut yang dibangunkan secara berfasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2013. Pada Februari yang lalu, TPHPP telah mendapat pengiktirafan status Halal Malaysia (HALMAS), iaitu suatu pengiktirafan akreditasi dari Halal Industry Development Corporation (HDC) kerana memenuhi kriteria halal yang ditetapkan oleh HDC. Melalui status ini, para penggiat industri halal dapat menikmati insentif pelepasan cukai yang ditawarkan oleh HDC.

Terbaru, Halal Penang dengan kerjasama PDC telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Aromacom Sdn. Bhd., Swiss Confiserie Sdn. Bhd., Attractive Ventures Sdn. Bhd. atau dikenali sebagai D’nonce Biofoods Sdn. Bhd., Jeenhuat Foodstuffs Industries Sdn. Bhd. dan Everbest Soya Bean Products Sdn. Bhd. dengan jumlah pelaburan sebanyak RM345 juta yang merangkumi 31.09 ekar bagi Fasa I TPHPP. Kewujudan para pelabur baru tersebut bakal menyediakan lebih dari 700 peluang pekerjaan kepada warga Pulau Pinang dalam pelbagai industri termasuk bekalan makanan laut sejuk beku, pembuatan kek dan coklat, ekstrak herba, farmaseutikal, produk bio-degradasi dan barangan eko-pembungkusan.

 Prestasi Halal Penang dapat dilihat dari pelbagai sudut, antaranya jumlah nilai pelaburan yang berjaya dibawa masuk melalui misi perdagangan, penjenamaan dan promosi yang berjumlah RM345 juta di atas keluasan tanah 31.09 ekar. Jumlah pelaburan ini, dijangka akan meningkat menjelang 2013 kelak apabila TPHPP di Bukit Minyak siap sepenuhnya. Malah, peningkatan syarikat yang berstatus halal di Pulau Pinang turut menjadi kayu pengukur ke atas prestasi Halal Penang.

Selain Kerajaan Negeri, Halal Penang turut mengadakan jalinan kerjasama bersama Perlabuhan Pulau Pinang (Penang Port Sdn. Bhd.-PPSB). Ini melengkapkan rantaian sistem pembekalan bahan mentah halal (Halal Traceability System) di Pulau Pinang. PPSB telah diberi pengiktirafan MS19001:2005 oleh SIRIM QAs International kepada Unit Perniagaan Strategik (SBU) melalui pengurusan kualiti dan perkhidmatan kontenanya. PPSB merupakan pelabuhan pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan sedemikian. Hasilnya, selain Port of Rotterdam, terdapat beberapa perlabuhan antarabangsa yang berminat untuk menjalinkan usahasama dalam membangunkan sistem pembekalan bahan mentah halal, antaranya Port of Marseille dan Port of Sete.

Prestasi dan kejayaan demi kejayaan yang ditonjolkan oleh Halal Penang, bukan sahaja mampu menjadi pemangkin industri halal malah turut dilihat sebagai salah sebuah medium penjana pertumbuhan pelaburan dan ekonomi halal di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri percaya bahawa, rekod kecemerlangan Pulau Pinang pada tahun 2010 mampu menjadi penanda aras ke arah menjadikan Pulau Pinang megapolis terunggul di Malaysia. Pulau Pinang Mendahului.

Untuk maklumat lanjut, sila layari http://www.halalpenang.com/