Edisi khas : Kesihatan, alam sekitar & kebajikan – komitmen Phee Boon Poh

Admin

BEBERAPA peserta melakukan senaman sebagai amalan gaya hidup sihat untuk pencegahan penyakit bersempena program khas yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri.
BEBERAPA peserta melakukan senaman sebagai amalan gaya hidup sihat untuk pencegahan penyakit bersempena program khas yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri.

 

INDIVIDU yang tinggi lampai dan berambut putih tidak asing lagi di khalayak warga Pulau Pinang. Sudah berpuluh tahun beliau berkecenderung dalam bidang politik dan di mana sahaja asalkan ada tragedi rumah terbakar, mangsa kemalangan dan lain-lain, di situlah beliau akan berada. Individu tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar , Phee Boon Poh, 60.

Tidak kira di mana Boon Poh berdiri, warga Pulau Pinang tetap hormat bapa kepada empat cahaya mata tersebut. Samada sebagai pembangkang (sebelum Mac 2008) ataupun kini sebagai pihak kerajaan, beliau telah harungi semua liku-liku tersebut.

Tidak ada apa-apa perubahan bagi saya, sama ada jadi pembangkang atau kerajaan kerana saya tetap terus berjuang untuk rakyat. Sekarang saya telah diberi peluang untuk merealisasikan harapan rakyat. Oleh itu, saya akan kerja keras untuk meninggalkan satu ’pusaka’,” Boon Poh memberitahu Buletin Mutiara.

Ayah saya seorang ahli politik dan sejak berumur belasan tahun, saya telah giat di dalam bidang politik. Saya berasal dari Kampung Gajah yang terpencil dan sering dipinggirkan. Pengaruh dari ayah saya dan latar-belakang ini yang menjadi motivasi bagi mencapai kedudukan saya kini.”

Pada tahun 2008, kes bantuan kebajikan di negeri Pulau Pinang cuma berjumlah 7,462, tetapi angka tersebut telah melonjat kepada 24,129 kes (tahun 2011). Boon Poh merasakan bahawa peningkatan tersebut merupakan pencapaian yang memuaskan kerana angka berkenaan menunjukkan peningkatan tiga kali ganda orang yang susah dan miskin dapat dibantu Kerajaan Negeri.

Satu lagi pencapaian yang boleh dibanggakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah eradikasi miskin tegar dalam setahun. Pulau Pinang berjaya menghapuskan miskin tegar pada tahun 2009 iaitu selepas setahun Pakatan Rakyat (PR) mentadbir.

Sekiranya kita membuat sesuatu dengan iklas dan tulus, kita memang boleh capai kejayaan. Usaha Kerajaan Negeri berjaya kerana kami semua iaitu Ahli MMK dan pegawai-pegawai kakitangan kerajaan boleh duduk satu meja untuk berbincang menangani masalah warga miskin tegar. “ ujar beliau.

Menyentuh mengenai isu alam sekitar yang turut berada di bawah portfolionya, Boon Poh lazimnya telah melancarkan banyak program kesedaran seperti ‘tanpa polistren’, ‘tiada beg plastik’, pusat sumber alam sekitar, pasukan peronda sukarelawan dan lain-lain lagi.

Kita tidak dapat tukar pemikiran orang, tetapi kita boleh tukar cara hidup atau tindakan mereka. Warga Pulau Pinang sangat peka dan berfikiran terbuka kepada program-progam reformasi sosial. Mereka komited dan sangat suka membantu. Oleh itu, kerajaan dapat membuat banyak perubahan,” Boon Poh memuji warga Pulau Pinang.

Perkara-perkara yang menjadi keutamaan Boon Poh adalah:

  1. Masalah denggi dan malaria ;

  2. Kesedaran penyakit diabetes ;

  3. Kesedaran penyakit HIV, kanser dan kempen anti-merokok

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah-masalah ini. Malah, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang juga telah mengambil tindakan bagi mengawal kes-kes demam denggi seperti berikut:

  1. Mengadakan pameran dan program Bebas Denggi

  2. Ceramah untuk orang awam dan murid-murid sekolah

  3. Pemasangan sepanduk, banting untuk pengetahuan awam serta pengumuman di radio

  4. Latihan sukarelawan COMBI (Communication for Behavioural Impact) yang menggunakan pendekatan komunikasi untuk mengubah tingkahlaku manusia. Konsep ini telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan digunakan oleh beberapa buah negara dalam mencegah dan mengawal penyakit Tuberkulosis (TB), Kusta dan Filariasis. Di Pulau Pinang, ia digunakan untuk pencegahan demam denggi

Di antara 24 jenis penyakit berjangkit yang perlu diberitahu, penyakit tibi, demam denggi, malaria, keracunan makanan serta jangkitan HIV/AIDS masih merupakan satu masalah kesihatan awam di negeri ini. Orang ramai perlu berwaspada dan juga mengetahui cara-cara mengesan dan mencegah penyakit ini daripada merebak.

Baru-baru ini, Boon Poh juga telah mengadakan satu sidang media mengenai penyakit penyakit kencing tikus atau Leptospirosis.

Untuk masa depan, Boon Poh ingin melihat bahawa terdapatnya sistem pengurusan sisa pepejal dengan lebih efektif di Pulau Pinang. Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, pengurusan sisa pepejal banyak memakan belanja pihak berkuasa tempatan kerana kerajaan pusat telah gagal mengurusnya dengan baik.

Dalam pada itu, Boon Poh juga berharap warga Pulau Pinang dapat mengamalkan pembuangan sifar atau ‘zero waste’ di mana penggunaan sumber kitar semula yang dapat menguruskan sisa basah iaitu sisa makanan dan lain-lain serta sisa kering.

Seperkara lagi yang diketengahkan oleh Boon Poh adalah bekalan makanan yang terjamin. Misalnya pemeliharan ayam dan khinzir yang mengunakan teknologi moden supaya tiada bau, pencemaran, tanpa lalat dan bersih. Beliau kini sedang bekerjasama dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Tebatan Banjir, Law Choo Kiang untuk mencari penyelesaian berhubung isu berkenaan. Boon Poh memberitahu bahawa pihaknya kini sedang bekerjasama dengan sekumpulan penternak untuk mengitar 130 tan metric sisa khinzir bagi ditukar kepada bio gas NGV.

Sebagai seorang yang prihatin, Boon Poh juga telah berkerja keras untuk memastikan warga kurang bernasib baik dapat hidup bersama masyarakat umum tanpa sebarang halangan mental dan fizikal. Buat masa ini, terdapat segelintir kakitangan yang belajar bahasa isyarat dan bahasa dialek seperti Hokkien dan Mandarin dan di masa akan datang, bahasa Tamil bagi tujuan tersebut.

Projek-projek lain dalam hal kebajikan adalah memastikan semua tempat awam diberi perkhidmatan orang kelainan upaya (OKU). Warga miskin yang tiada tempat tinggal juga mungkin dapat ‘night shelter’ tidak lama lagi sekiranya Boon Poh berjaya merealisasikan cadangan untuk mewujudkan tempat tinggal sementara bagi golongan miskin terbabit.

Lanjutan daripada itu, Boon Poh juga bercadang untuk memastikan setiap bangunan tinggi diwujudkan sebuah lokasi penjagaan warga emas dan kanak-kanak.