Edisi khas : Pembangunan sukan mantap & unggul

Admin
PENGERUSI Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Ong Kok Fooi (berbaju biru, tengah) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus (empat dari kanan) bergambar kenang-kenangan bersama atlet-atlet Karate Do yang memenangi pingat emas pada SUKMA tahun lalu.
PENGERUSI Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Ong Kok Fooi (berbaju biru, tengah) dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus (empat dari kanan) bergambar kenang-kenangan bersama atlet-atlet Karate Do yang memenangi pingat emas pada SUKMA tahun lalu.

DATUK Nicol Ann David dan Datuk Lee Chong Wei ialah antara individu yang bukan sahaja dikenali di Malaysia malah turut melakar kemasyuran di persada antarabangsa. Lebih membanggakan kedua-dua individu tersebut merupakan anak jati Pulau Pinang. Hal ini membuktikan bahawa Pulau Pinang bukan sahaja mampu menzahirkan kesejahteraan rakyatnya, malah, Pulau Pinang juga melahirkan modal insan yang berkaliber dan berkarisma di mata dunia.

Kerajaan Negeri sememangnya amat menitikberatkan aspek sukan dan jasmani dalam melahirkan lebih ramai atlet-atlet negara yang bertaraf antarabangsa. Melalui Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), individu yang berkebolehan akan diasah dan diasuh bakatnya dalam memastikan kesinambungan atlet-atlet yang bukan sahaja mampu mengharumkan nama negeri malahan negara pada masa hadapan dapat dizahirkan.

 

Selain itu, penyertaan dan pencapaian atlet-atlet kelahiran negeri Pulau Pinang dalam acara sukan umpamanya Sukan Malaysia (SUKMA), Sukan Asia dan sukan-sukan lain yang bertaraf antarabangsa amatlah dititikberatkan oleh MSNPP dan Kerajaan Negeri. Oleh demikian, pelbagai inisiatif dalam melaksanakan program-program yang mempunyai impak positif turut dirangka dan dibuat pemantauan yang berterusan bagi memastikan latihan yang dijalankan oleh atlet-atlet yang mengambil bahagian dalam acara sukan adalah relevan dan unggul.

Selain mengadakan sesi perjumpaan bersama jurulatih, pengurus pasukan dan persatuan- persatuan sukan, suatu sesi perjumpaan bersama para atlet turut diadakan untuk memberikan motivasi dan meningkatkan semangat juang mereka. Selain itu, MSNPP turut menganjurkan Persidangan Sukan Malaysia dan Kem Induk Akhir untuk kontijen Pulau Pinang bagi memastikan persiapan para atlet berada di tahap yang maksima sebelum menyertai mana-mana acara sukan. Inisiatif yang diambil oleh MSNPP dan Kerajaan Negeri ini adalah untuk memastikan kesediaan para atlet kelahiran Pulau Pinang dalam acara sukan.

Malah, MSNPP juga telah melaksanakan projek pembangunan atlet di semua daerah di Pulau Pinang dengan menempatkan seorang Penolong Pegawai Belia dan dua orang Jurulatih di Pejabat Daerah. Tujuan projek tersebut adalah untuk memastikan Pulau Pinang tidak ketandusan atlet yang berwibawa dan mempunyai semangat juang yang jitu. MSNPP juga telah merangka projek jangka panjang iaitu Projek Mutiara untuk para atlet yang terpilih untuk menjalani latihan sepenuh masa sepanjang tahun.

Dari segi kejurulatihan, MSNPP dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) & Institut Sukan Negara (ISN) telah melaksanakan Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) bagi memastikan kualiti jurulatih memiliki tahap dan kualiti yang diperlukan mengikut bidang sukan. Malah, jurulatih juga dikehendaki memiliki Sijil Sains Sukan yang dikendalikan mengikut tiga tahap yang berbeza bagi meningkatkan kemahiran kejurulatihan masing-masing.

Selain penyediaan jurulatih yang berkebolehan, Kerajaan Negeri dengan kerjasama MSNPP akan memastikan prasarana sukan berada dalam keadaan baik dan selamat. Malah kerja-kerja penyelenggaraan dan baikpulih turut diadakan secara berkala di samping menyediakan kemudahan sukan yang baru dan mengikuti keperluan semasa para atlet.

Bermula pada tahun 2008, peruntukan tahunan bagi tujuan pembangunan sukan negeri Pulau Pinang dari Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM3.3 juta (jumlah peruntukan sama bagi tahun 2009, 2010 dan 2011).