EIA baharu PSR akan dikemuka pada suku pertama tahun depan – Ketua Menteri

Admin

BAYAN LEPAS – Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) bagi projek tambakan laut selatan pulau Pulau Pinang (PSR) yang telah dikemas kini akan dikemukakan semula pada suku pertama tahun depan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa rakan pelaksana projek PSR, SRS Consortium sedang dalam proses mengemas kini laporan EIA serta data impak sosial untuk dikemukakan semula kepada Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi proses kelulusan semula.

“Kerajaan Negeri dan rakan pelaksana masih komited untuk melaksanakan projek ini tetapi seperti yang dijanjikan, kita tidak akan mula selagi kelulusan EIA tidak diperoleh.

“Jadi, kita harap EIA dapat dikemukakan semula selewat-lewatnya pada Mac 2022 dan diikuti dengan pameran awam selama sebulan yang merupakan proses biasa dalam pelaksanaan sesuatu projek sebelum JAS membuat keputusan mengenai kelulusan laporan tersebut.

“Kita harap proses ini akan berjalan lancar dan tidak lama lagi, kita dapat menjayakan projek PSI selaras dengan Visi Penang2030 untuk memperkasakan ekonomi dan pendapatan isi rumah, meningkatkan daya huni, kualiti hidup serta menyediakan infrastruktur bagi mengikatkan daya tahan Pulau Pinang dalam menghadapi cabaran ekonomi dan perubahan iklim,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) Sungai Batu di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz: Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Azhar Arshad dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd., Dato’ Seri Farizan Darus.

Tambah Kon Yeow, sesi libat urus yang dijalankan bagi pembangunan PSR bukan sahaja melibatkan komuniti tetapi turut diadakan bersama-sama barisan pemimpin industri bagi menyalurkan maklumat mengenai tanah-tanah industri di pulau ‘A’ apabila siap dibangunkan kelak

“Daripada maklum balas yang diterima melalui sesi libat urus yang dijalankan, kita dapati bahawa minat para pelabur dan kilang-kilang terhadap tanah ini adalah amat memberangsangkan.

“Hal ini kerana pulau ‘A’ merupakan Taman Teknologi Hijau yang dibangunkan mengikut prinsip Elemen Persekitaran Sosial dan Tadbir Urus (ESG), yang mematuhi peraturan dunia terkini.

“Jika kita tidak mengaplikasikan ESG, para pelabur akan mencari lokasi lain.

“(Dan) Pulau Pinang bakal meraikan 50 tahun dalam industrialisasi tahun hadapan, jadi kita perlu maju ke hadapan dengan pulau industri hijau ini.

Terdahulu, pada September 2021, JAS telah mengetepikan kelulusan EIA bagi projek berkaitan setelah permohonan diserahkan sejak 2019.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN