Ejen penggerak seni budaya perlu diramaikan, kata Shapee Che Embi

Admin
img 9962 SHAPEE Che Embi (tengah) dalam sesi bicarawara berkaitan di Dewan Sri Pinang pada 31 Mei 2024.

SENI dan budaya adalah ekspresi kreatif manusia secara kolektif yang diwariskan dari satu generasi ke satu generasi lain.

Seni budaya memiliki peranan penting dalam proses pembentukan negara bangsa moden, dari segi mengungkapkan identiti, mengeratkan hubungan sosial serta mendidik masyarakat.

Usaha melestasikan seni dan budaya ini adalah begitu penting supaya dapat berkembang kukuh seiringan dengan perubahan lanskap kehidupan masyakarat yang kian kompleks dan mencabar belakangan ini.

Bertitik tolak pada beberapa teras ini, dalam konteks Pulau Pinang sendiri, semua pihak wajar melihat peri penting Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN).

img 9961
SHAPEE Che Embi

Demikian kata Shapee Che Embi iaitu Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Pulau Pinang dalam bicara wara di Galeri Seni Negeri Pulau Pinang (PSAG) dekat Bangunan Dewan Sri Pinang, George Town pada 31 Mei 2024.

“Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pulau Pinang sememangnya komited dalam perkara ini.

“Pun begitu, ramai seakan tidak mengenali peranan JKKN Pulau Pinang iaitu daripada segi peranannya.

“Peranan jabatan ini bukan sahaja terhad pada seni tari, sebenarnya tujuan penubuhan jabatan ini memberi suatu signifikan yang lebih besar pada perkembangan budaya masyarakat.

“Kenapa saya berkata demikian – kalau sebuah negara yang merdeka dan berjaya dari segi pencapaian ekonomi sahaja umpamanya, negara ini dilihat akan mundur sekiranya dari segi budayanya itu tidak ada.

“Gagalnya tamadun di sesebuah negara  apabila tidak adanya budaya dan jati diri pada rakyat di negara ini.

“(Republik Rakyat) China ada identiti budayanya; (negara) India ada budayanya; maka sudah tentu (negara bangsa moden) Malaysia ada budayanya.

“Sehubungan ini, aspek pembinaan identiti bangsa melalui pendekatan pemupukan budaya inilah yang sedang kita (JKKN Pulau Pinang) usahakan tidak kira bangsa Melayu, Cina, India atau sebagainya – sesiapa sahaja rakyat Malaysia, proses pemupukan seni dan budaya ini perlu dilakukan secara bersama-sama,” jelasnya kepada wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD.

Bercerita lanjut, Shapee berkata pemupukan seni dan budaya itu bukan yang berkaitan seni tari, tetapi merangkumi konteks yang lebih luas seperti cara hidup, cara percakapan, peradaban, cara makan, cara menghormati sesama entiti masyarakat, cara berbudaya-agama dan sebagainya.

“Bayangkan, sekiranya tiada pemupukan seni dan budaya dalam masyarakat kita, adik-adik atau anak-anak kita mungkin tiada adab atau dengan maksud lain disebut kurang ajar.

“Dalam pendidikan seni dan budaya inilah, nilai-nilai murni yang telah ada dalam kebudayaan bangsa kita ini mahu terus dipupuk dalam kalangan generasi muda,” jelasnya lagi.

Sebelum ditaklifkan sebagai Pengarah  JKKN Negeri Pulau Pinang, Shapee pernah berkhidmat sebagai Pengurus Pemasaran di Istana Budaya, Kuala Lumpur, dari tahun 2008 hingga 2015.

Selepas itu, Shapee dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Pemasaran di Ibu Pejabat Jabatan kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dekat Kuala Lumpur.

Di Ibu Pejabat JKKN, Shapee berkhidmat selama sembilan tahun.

“Saya mula berkhidmat di negeri Pulau Pinang pada 1 Julai 2020 iaitu semasa pandemik COVID-19 (dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, PKP).

“Kalau dikira perkhidmatan saya bermula di Istana Budaya, sehingga kini kira-kira 16 tahun.

“Saya berkhidmat di Pulau Pinang selama tiga tahun 10 bulan.

“Sepatutnya pertukaran saya atau saya pergi melapor diri kembali ke Kuala Lumpur pada 27 Mei 2024, tetapi saya meminta ditangguhkan seminggu lagi, maka saya akan melapor diri pada 4 Jun 2024.

“Oleh sebab demikian, pada 27 Mei 2024, memang telah ada seorang Pengarah baharu melapor diri di JKKN Pulau Pinang, sebagai mengisi kekosongan perjawatan saya pada tarikh itu (27 Mei 2024),” ujarnya lagi.

Di Kuala Lumpur nanti, Shapee memberitahu bahawa beliau akan ditaklifkan sebagai Timbalan Pengarah Bimbingan Seni Budaya (BSB).

“Di setiap negeri, program-program berorientasikan pelajar yang mana kita akan melatih para pelajar dalam bidang seni tari, teater, seni berbahasa dan sebagainya – supaya mereka dapat meneruskan aktiviti seni dan tidak terhenti.

“Kita mahu seni-seni ini tidak ‘mati’.

“Beberapa sekolah, kita pilih supaya seni boria ini tidak mati di negeri Pulau Pinang,” katanya sambil memberitahu bahawa program latihan seni dilaksanakan pada sekolah-sekolah tertentu.

Selama hampir empat tahun menjadi Pengarah JKKN Pulau Pinang, bagi Shapee agak mencabar adalah semasa menganjurkan program dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Semasa pandemik (COVID-19), program-program tetap berjalan, tetapi tidak dibenarkan secara fizikal.

“Jadi, kami (JKKN Pulau Pinang) melakukan program-program (secara dalam talian) dari rumah masing-masing; seperti program-program berorientasikan wawancara.

“Pelbagai program kita jalankan seperti berpuisi, berpantun, pertandingan bertari secara solo (yang mana) tiada pertemuan secara fizikal.

“Banyak program dijalankan sama ada di bawah jabatan (JKKN Pulau Pinang) sendiri) dan sebagainya.

“Program-program tetap berjalan secara baik, tidak dilakukan secara fizikal (yang mana) semua buat program di rumah masing-masing dan kemudian kita akan gabungkan.

“Program paling besar, kalau melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada waktu itu adalah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Persekutuan yang mana kami (JKKN Pulau Pinang) perlu buat drama tari… berlangsung pada tahun 2023.

“Tidak dilupakan program-program besar lain di bawah Jelajah Madani, yang dianjurkan peringkat Persekutuan tetapi dilaksanakan di Pulau Pinang,” ceritanya lagi.

Mengakhiri bicara wara, Shapee yakin bahawa seni memainkan peranan dalam membina jati diri masyarakat setempat.

“Kita tak boleh mendekatkan manusia dari seni budaya yang mereka sukar nak terima kerana seni budaya hidup bersama-sama manusia.

“Kita perlu meramaikan mereka yang melibatkan diri dengan seni budaya supaya generasi akan datang mempunyai jati diri yang kuat,” katanya yang mahu menggerakkan aktiviti pemupukan seni dan budaya menerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta membuka pusat akademi sendiri apabila bersara wajib kelak.

END