eKerajaan promosi pengurusan urusan melalui talian

GEORGE TOWN – Projek Penang Free WiFi yang dizahirkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang adalah bagi memastikan rakyat negeri ini mempunyai pilihan akses percuma internet dan sekaligus meningkatkan daya saing di era globalisasi dan
k-ekonomi kini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bersempena Majlis Pelancaran Pameran eKerajaan Negeri Pulau Pinang yang dianjurkan buat kali kedua di sini baru-baru ini.

Katanya, hasrat kerajaan untuk melakukan penyampaian berkesan tidak akan kesampaian sekiranya talian internet tidak mencapai garis panduan 3A iaitu, Accessibility, Availability dan Affordability.

“Justeru, Kerajaan Negeri mezahirkan projek WiFi percuma kepada seluruh rakyat negeri ini. Ini kerana, di benua Afrika, ada yang sanggup tidak makan demi melayari internet,’’ jelasnya.

Penganjuran yang bertujuan mempromosikan urusan melalui penggunaan talian dilangsungkan dalam tempoh dua hari bertemakan ‘EZ eG eKerajaan Lebih Mudah’. Ini adalah kesinambungan pameran pertama di pusat membeli-belah Sunway Carnival, Seberang Jaya pada Oktober tahun lalu dan ia bakal diperluaskan ke lokasi-lokasi lain.

Terdapat 34 jenis perkhidmatan atas talian disediakan melalui portal rasmi Kerajaan Negeri termasuk masing-masing lapan jenis perkhidmatan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Ini termasuk, proses semakan status permohonan rumah kos rendah/sederhana/projek perumahan rakyat (PPR), pinjaman penuntut, status bantuan warga emas, ibu tunggal, semakan pendaftaran perkahwinan dan sebutharga ataupun tender terbuka.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada jabatan/agensi negeri atas pencapaian lima bintang dalam Malaysia Gorvernment Portal/Websites Assesment 2012 yang dilaksanakan Malaysia Development Corporation (MDeC) iaitu Portal Rasmi Kerajaan Negeri dikendalikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Turut memperoleh pengiktirafan sama adalah portal rasmi MPPP, MPSP, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian dan web rasmi Jabatan Kewangan Negeri,’’ ujar beliau.

Beliau dengan itu berharap Pameran eKerajaan yang diadakan tersebut dapat mencapai sasaran dalam mempromosi serta memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan atas talian disediakan Kerajaan Negeri melalui www.penang.gov.my sebagai menjadi pemudahcara semua pihak.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Ng Wei Aik, Setiausaha Kerjaan Negeri, Datuk Farizan Darus, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Jait, pegawai-pegawai serta kakitangan Kerajaan Negeri.

ANTARA pengunjung yang hadir Pameran eKerajaan Pulau Pinang yang diadakan di ruang legar Komtar di sini baru-baru ini.
ANTARA pengunjung yang hadir Pameran eKerajaan
Pulau Pinang yang diadakan di ruang legar Komtar
di sini baru-baru ini.