BATU UBAN – Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang (3KPP) 2024 dan Ekspo Kerjaya dan Pendidikan (EKSPEN) anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) sedang berlangsung dari 7 hingga 8 Jun 2024.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata penganjuran karnival berkenaan adalah bertujuan membantu pelajar dan graduan untuk merancang kerjaya, mendapatkan maklumat, serta peluang pekerjaan yang selaras dengan kehendak pasaran.
“Diharapkan karnival ini dapat memberi peluang kepada pelajar dan graduan untuk mendapatkan khidmat latihan industri, menghadiri temuduga, dan menerima nasihat kerjaya daripada pameran syarikat yang disediakan,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan 3KPP 2024 dan EKSPEN dekat USM di sini pagi tadi.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat; Ketua Pustakawan USM, Arinawati Ayob; Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM, Profesor Dr. Azizah Omar; Naib Yang Dipertua III Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM Kabilan Kasevan dan Pengarah Projek 3KPP 2024 dan EKSPEN, Muhammad Azfaruddin Tajudin.
Jagdeep berkata, pembangunan ekonomi yang kian pesat kini memerlukan graduan melengkapi diri masing-masing dengan kemahiran dan bakat yang sesuai bagi memenuhi pasaran pekerjaan semasa.
“Persaingan bagi pekerjaan yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat semakin sengit kerana semakin ramai graduan berada di pasaran.
“Oleh sebab itu, penting untuk para pelajar menyedari keperluan ekonomi semasa dan membuat persiapan rapi dalam pelbagai aspek.
“Kualiti diri perlu dipertingkatkan melalui kemahiran insaniah dan ilmu teknikal, selain membina jaringan sosial yang lebih luas.
“Graduan juga perlu mengambil tahu dan memahami trend pasaran buruh, industri, pekerjaan dan kerjaya bagi menyelaraskan kemahiran dan bakat dengan kepesatan ekonomi,” katanya yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi.
Selain pelbagai aktiviti menarik seperti beberapa permainan mini, dan cabutan bertuah, karnival tersebut turut menampilkan 28 pempamer daripada industri kecil dan sederhana (IKS), agensi awam serta institusi pengajian swasta.
Teks & Gambar : NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY