GEORGE TOWN – Orang kurang upaya (OKU) yang berkelayakan dipelawa untuk menghadiri Ekspo Kerjaya OKU Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada 29 dan 30 Jun ini bertempat di SP Arena, Seberang Perai Tengah (SPT).
Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy berkata, objektif penganjuran ekspo tersebut adalah bertujuan membuka peluang kepada OKU untuk menjana ekonomi setaraf warga kerja biasa.
“Ekspo ini juga akan membuka minda warga OKU mengenai peluang kerjaya yang ada terutamanya dalam bidang teknologi maklumat (IT) selain memberi pendedahan dalam memperkasakan golongan OKU berkelayakan.
“Ekspo ini juga membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memberi peluang kepada golongan OKU menyertai sektor pekerjaan sama ada kerajaan mahupun swasta dan bersaing dalam pasaran terbuka,” katanya pada sidang media di Komtar, sebentar tadi.
Pengarah Urusan Syarikat PenExpo Events Sdn. Bhd., Francis Wong yang juga penaja lokasi ekspo turut sama menyertai sidang media berkaitan.
Dalam pada itu, Ramasamay yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan dan Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihaknya mengharapkan warga OKU dapat mengambil peluang ini dan hadir ke Ekspo Kerjaya OKU Kerajaan Negeri 2019.
Difahamkan, ekspo yang akan berlangsung bermula jam 11:00 pagi sehingga 6:00 petang itu akan turut disertai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang, Tesco Extra Seberang Jaya, MySIS Trading, Takaful Ikhlas Berhad dan banyak lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN