Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
BAYAN LEPAS – Mutakhir ini, tinjauan pasaran pekerjaan di Malaysia menunjukkan peningkatan permintaan pasaran berbanding penawaran dengan syarikat-syarikat terus mengambil pekerja profesional di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.
Rentetan itu, 12th Penang Career & Postgraduates Expo 2012 (12th PCPE) yang bakal berlangsung pada 17 dan 18 November ini menawarkan lebih 10,000peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor dan industri bagi memenuhi permintaan terhadap golongan profesional dan graduan institusi pengajian tinggi (IPT).
Ekspo kali ke-12 yang dianjurkan oleh JobsCentral Malaysia turut membuka peluang kepada mereka yang ingin mencari peluang baru dan pengalaman ditemuduga.
Menurut statistik dikeluarkan pihak terbabit baru-baru ini, sejumlah 53 peratus daripada 3,000 responden adalah graduan IPT dan 68 peratus daripadanya telah berkhidmat selama kira-kira empat tahun.
Walau bagaimapun, kesemua responden masih mencari pekerjaan menawarkan gaji lebih tinggi dan mempunyai pelbagai faedah termasuk kesihatan dan sambung pengajian.
Ternyata, dalam dunia yang mencabar, bakat dan kemahiran menjadi tunjang utama memilih pekerja. Oleh demikian, para majikan juga diberi peluang untuk menemuduga calon-calon berpotensi pada ekspo yang berlangsung di Pusat Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) berkenaan.
Menariknya, ekspo terbesar di Pulau Pinang tersebut juga bakal memberi peluang kepada graduan untuk menyertai skim-skim pekerjaan yang ditawarkan sebelum melangkah ke dunia pekerjaan.
Malah, pengunjung bertuah dan terpilih bakal memenangi hadiah iPad terbaru dan 10,000 tiket penerbangan percuma yang ditaja oleh syarikat penerbangan, Firefly Airlines.
Untuk sebarang maklumat lanjut, layari laman sesawang www.penexpo.com.my atau www.jobscentral.com.my atau hubungi urusetia ekspo di talian 012 – 422 4004 atau 012 – 421 1903.