SEMPENA Hari Ibu yang bakal diraikan pada 12 Mei ini, wartawan pelatih Buletin Mutiara, NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI berkesempatan meninjau persiapan sambutan hari istimewa itu.
V. SAKKIRATHEVAN, 29, pemilik sebuah kedai tekstil dan jahitan di Market Street, Thenn Nadu berkata, beliau menawarkan kain sari pada harga diskaun khas untuk para ibu sempena Hari Ibu tahun ini.
Katanya, inisiatif tersebut adalah sebagai tanda penghargaan dan juga sebagai ekspresi rasa hormat serta kasih sayang terhadap insan yang bergelar ibu.
“Ibu adalah insan yang paling berharga, jadi saya memutuskan untuk menawarkan kain sari di sini pada harga yang berpatutan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada mereka.
“Selain itu, isteri saya juga baru sahaja bergelar seorang ibu, jadi saya ingin menyampaikan ucapan ikhlas kepada semua ibu,” ceritanya ketika ditemui di premis perniagaannya di sini.
Tambahnya lagi, tawaran yang dilancarkan pada akhir April lalu akan diadakan selama sebulan.
“Kedai dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 9 malam,” katanya lagi.
Bagi KHUMAIRA FAUZI, 23, yang menjalankan perniagaan gubahan jambak bunga berkongsi mengenai tempahan yang diterima sempena Hari Ibu yang bakal tiba.
“Setakat ini Bouquet.bysf menerima lima tempahan untuk Hari Ibu memandangkan hari ibu akan tiba beberapa hari lagi, kebiasaannya pelanggan sering membuat tempahan sehari atau dua hari sebelum.
“Jenis gubahan bergantung kepada permintaan pelanggan yang mana ada yang menginginkan gubahan jambak bunga, coklat atau wang kertas dengan harga bermula serendah RM40.
“Tiada pakej atau promosi yang disediakan tetapi kami juga membuka peluang kepada pelanggan untuk memilih atau menetapkan harga untuk kami menggubah jambak,” jelasnya.
Khumaira yang juga seorang pelajar sepenuh masa Universiti Utara Malaysia (UUM) memaklumkan, beliau hanya menjalankan perniagaan melalui atas talian dan tiada kedai fizikal.
” Sesi tempahan sering dibuat melalui aplikasi WhatsApp.
“Semua mampu disiapkan pada masa yang dijanjikan, cumanya apabila banyak tempahan yang diterima maka saya akan membuat sistem pre-order supaya lebih mudah untuk saya cari bahan dan juga stok gubahan,” jelasnya.
Sementara itu, Pengurus Jayam Fusion Cuisine, K. RAMESH KUMAR berkata, bufet makan tengah hari khas untuk meraikan Hari Ibu pada 12 Mei akan disediakan.
“Bufet makan tengah hari ini menawarkan 15 jenis makanan hidangan utama sehingga pencuci mulut dan minuman dengan harga hanya RM25 berserta pencuci mulut percuma untuk semua ibu.
“Saya pasti para ibu akan menghargai peluang untuk menikmati hidangan yang menyelerakan dan meluangkan masa bersama orang tersayang,” beritahu Ramesh yang turut mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu di seluruh dunia.
Bagi MUHAMMAD NAZRIL AIMAN MOHD FERDUS, 23, pula, beliau bercadang mengadakan makan malam bersama keluarga bagi meraikan Hari Ibu bersama-sama ibunya, SABARIAH IBRAHIM, 52.
“Persediaan Hari Ibu tahun ini saya dan adik beradik yang lain hendak membawa ibu dan ayah makan bersama dan ada hadiah juga akan diberikan pada hari tersebut sebagai tanda penghargaan kepada ibu.
“Saya sangat bersyukur kerana mempunyai ibu seperti ibu saya kerana dia seorang yang tabah dan tidak pernah mengeluh dalam membesarkan kami adik-beradik, pengorbanan dan kekuatan emosi ibu sentiasa saya jadikan motivasi untuk mencapai kejayaan dalam hidup.
“Saya ingin berterima kasih kepada ibu saya atas segala kasih sayang yang dicurahkan sejak saya kecil dan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” ungkap Muhammad Nazril Aiman.
Manakala YASMIN HANI YUSRIZAL, 23, pula tiada spesifik hari untuk menghargai sosok seseorang yang bergelar ibu.
“Setiap tahun kami sekeluarga akan menyambut Hari Ibu tanpa lupa sebagai tanda hari istimewa untuk kami luangkan lebih masa dengan ibu.
“Hadiah paling bermakna yang pernah saya berikan kepada ibu saya adalah wangian berjenama yang saya beli menggunakan wang simpanan hasil saya mula bekerja.
“(Dan) pengalaman berharga bersama-sama ibu adalah apabila kami berdua meluangkan masa dengan pergi berkhemah di sebuah tapak perkhemahan selama dua hari pada tahun lepas dan banyak cerita yang dikongsi pada ketika itu yang membuatkan saya lebih memahami dirinya sehingga sekarang,” ujar Yasmin.
Penulis juga ingin menzahirkan ucapan Hari Ibu kepada semua ibu-ibu hebat walau di mana jua berada, terutama ibu penulis, MAZLIDA MUSTAFFA.
Terima kasih ibu..!