Ekspresi seni belia Pulau Pinang

Admin

PARA belia bukan sahaja dapat mengekspresikan hasil seni mereka malah mereka turut dapat berkongsi hasil seni dan kreativiti mereka.
PARA belia bukan sahaja dapat mengekspresikan hasil seni mereka malah mereka turut dapat berkongsi hasil seni dan kreativiti mereka.

 

GEORGE TOWN – Sebuah ruangan khas untuk pelukis grafiti telah diadakan di Taman Perbandaran Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Taman Belia. Secara umum, pelukis grafiti adalah pelukis bebas yang menghasilkan karya yang artistik dan kreativiti hasil seni mereka lebih kepada ‘mood’ atau emosi ketika melakar.

Ruangan khas yang dibina di Taman Belia tersebut telah dikhaskan kepada para pelukis grafiti. Terletak di antara ‘Skate Park’ dan laluan pejalan kaki, ruangan tersebut menyediakan tujuh buah dinding khas untuk para pelukis grafiti ini. Tiga buah dinding tersebut berukuran 15 meter persegi manakala empat lagi berukuran 9 meter persegi. Kesemua dinding khas tersebut adalah mesra alam dan tidak mengganggu laluan pejalan kaki mahupun ruangan riadah lain.

Menurut salah seorang arkitek yang terlibat dengan projek grafiti tersebut, Ong Khian Huat, ruangan khas dinding grafiti menjadi medan kepada para belia untuk mengekspresi kreativiti masing-masing. Malah, matlamat utama mengadakan ruangan tersebut adalah bagi menggalakkan para belia berkomunikasi secara sihat tanpa melibatkan budaya yang kurang sihat.

Pengerusi projek tersebut, Micheal Chen dalam pada itu berkata bahawa ruangan tersebut telah ditaja oleh Kelab Rotary Tanjung Bungah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), malah, menurut beliau, ruangan grafiti sebenarnya telah lama dipopularkan di Singapura, Taiwan, Hong Kong, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah, dan Pulau Pinang mengambil inisiatif untuk memperkenalkannya di Malaysia.

Ruangan khas grafiti tersebut dilihat sebagai tindakan positif apabila ia bakal menggalakkan para belia untuk berkomunikasi sesama mereka, berbincang dan bertukar-tukar buah fikiran tanpa mengira kaum dan bangsa.

Hadir sama pada majlis pelancaran ruangan khas itu, YDP MPPP, Ar. Patahiyah Ismail. Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang http://www.mppp.gov.my .

LAKARAN ruangan khas bagi pelukis grafiti.
LAKARAN ruangan khas bagi pelukis grafiti.