Oleh: YAP LEE YING
GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyeru semua pengguna air di negeri ini supaya memulakan penjimatan sumber berkenaan kini bagi mengelakkan catuan air sekiranya gejala El Nino yang menyebabkan kemarau panjang melanda negara.
“Kita (rakyat Pulau Pinang) perlu memulihkan rizab simpanan empangan negeri bermula sekarang supaya kita (negeri) mempunyai bekalan air yang cukup dalam menghadapi El Nino.
“Kita perlu memanjangkan rizab air untuk seberapa lama yang boleh dalam menghadapi keberangkalian tempoh kemarau selama enam hingga 18 bulan,’’ katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Guan Eng berkata demikian sebagai mengulas surat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Loo Took Gee kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bertarikh 14 Mei lalu.
Dalam surat tersebut, kementerian memohon kerjasama Kerajaan-kerajaan Negeri sebagai pihak yang bertanggungjawab menguruskan sumber air mentah untuk membuat audit terhadap kecukupan simpanan air mentah masing-masing.
Turut disebut Took Gee adalah supaya Kerajaan Negeri membuat persiapan rapi bagi memastikan sumber air mentah mencukupi sekiranya El Nino melanda negara kelak.
“Langkah-langkah segera perlu diambil bagi mengelak berlakunya krisis air yang lebih teruk berbanding awal tahun ini,’’ sebut kenyataan berkenaan baru-baru ini.
Kenyataan terbabit turut memaklumkan bahawa merujuk kepada kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) pada 9 Mei lalu, negara dijangka akan mengalami Monsun Barat Daya iaitu musim kering bermula pertengahan Mei ini dan akan berterusan sehingga September 2014.
JMM juga telah memetik kenyataan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) pada 15 April lalu yang menyatakan bahawa El Nino yang boleh berlanjutan antara enam hingga 18 bulan, berkemungkinan berlaku pada sekitar pertengahan tahun ini.
Namun begitu, kekuatan El Nino tersebut masih belum dapat ditentukan.
Tambah Took Gee, kerjasama semua operator air juga dipohon untuk menjalankan kempen bagi menyeru semua pengguna samua ada domestik atau industri untuk sentiasa berjimat menggunakan air dan mengambil langkah-langkah alternatif seperti mengitar semula air atau penuaian air hujan.
“Ini adalah bagi membantu memastikan simpanan air mentah boleh bertahan terutamanya untuk menghadapi kemungkinan El Nino dan juga Monsun Barat Daya kelak,’’ ujarnya.