Elak penularan COVID-19, garis panduan penempatan sementara asrama pekerja asing bakal dimuktamad – Jagdeep

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri kini sedang dalam rangka memuktamadkan garis panduan penempatan sementara asrama pekerja asing di negeri ini, ujar Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Jagdeep berkata, sebagai inisiatif bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19, Kerajaan Negeri kini dalam proses untuk melaksanakan pengasingan penempatan pekerja asing dari skim perumahan ke tapak/skim komersial yang jauh dari kawasan perumahan yang melibatkan orang awam.

“Bagi memastikan pekerja-pekerja (asing) ini tidak menginap di skim perumahan sekali gus meningkatkan kebarangkalian berlakunya kes jangkitan COVID-19 di negeri ini, kita akan menempatkan mereka di tapak/skim komersial.

“Kerajaan Negeri sedang giat mencari tapak yang sesuai dan selamat dalam usaha menempatkan semula pekerja-pekerja asing ini, namun kos untuk penempatan semula mereka akan ditanggung pihak majikan masing-masing.

“Kedua, sebagai langkah intensif Kerajaan Negeri juga akan membenarkan penempatan pekerja asing di tapak kosong yang sesuai di dalam kawasan kilang yang bukan berimpak tinggi.

“Untuk tujuan ini, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menerima empat permohonan masing-masingnya kilang di Seberang Perai Utara (SPU), 1 (Seberang Perai Tengah, SPT) dan 1 (Seberang Perai Selatan, SPS) untuk mewujudkan penempatan pekerja asing sementara di kilang masing-masing bagi mencegah penularan wabak,” ujarnya pada sidang media yang diadakan di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Rozali dan Pengarah Perancangan Bandar MBSP, Norliza Abdullah.

Tambah Jagdeep, setakat ini Pulau Pinang mempunyai dua asrama pekerja masing-masingnya di Bukit Minyak dan mampu menampung 3,321 pekerja serta Batu Maung (2,900 pekerja), manakala enam projek masih di pelbagai peringkat pembinaan.

“Jumlah pekerja warga asing yang berdaftar di Pulau Pinang sekitar 135,490 pekerja… tidak semuanya boleh ditempatkan di asrama memandangkan untuk membina baki (enam) projek akan mengambil masa.

“Justeru, sebagai langkah jangka pendek dua penyelesaian di atas telah dicadangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri yang telah dipengerusikan oleh Ketua Menteri pada 22 Februari lalu,” maklum beliau.

Difahamkan, sehingga 21 Februari 2021 seramai 56,610 pekerja asing membabitkan sektor pembuatan/perkilangan serta tapak pembinaan telah disaring dan bakinya 78,890 masih belum manjalani saringan COVID-19 sepertimana yang diwajibkan ke atas mereka.

“Di Pulau Pinang, sebanyak 50 peratus taburan sosiodemografik kes COVID-19 yang dicatatkan adalah membabitkan pekerja warga asing.

“Tetapi, saya tidak suka untuk mengatakan bahawa mereka (pekerja asing) merupakan punca penularan wabak, jangan sesekali mendiskriminasikan mereka juga adalah manusia seperti kita kerana perlu diingatkan bahawa baki 50 peratus lagi adalah jangkitan daripada kita (warganegara).. keadaan tempat tinggal mereka tidak sesuai, di sinilah kita (Kerajaan Negeri) mahu membetulkannya,” tegas beliau.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR