Elaun tahunan guru agama naik 93 peratus

MOHD. Salleh Man (dua dari kiri) saling berinteraksi dengan pelajar terpilih dalam Majlis Penyerahan Pakaian Seragam Sekolah Sesi 2015 Daripada Sumber Zakat Peringkat Daerah SPU di sini baru-baru ini.
MOHD. Salleh Man (dua dari kiri) saling berinteraksi dengan pelajar terpilih dalam Majlis Penyerahan Pakaian Seragam Sekolah Sesi 2015 Daripada Sumber Zakat Peringkat Daerah SPU di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM – Zakat Pulau Pinang (ZPP) mengagihkan sejumlah RM4,204,872.60 elaun tahunan kepada guru-buru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Tadika Islam (TADIS) yang berdaftar di bawah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP).

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato’ Mohd. Salleh Man berkata, jumlah itu menyamai peningkatan hampir 93 peratus berbanding peruntukan tahun 2014 yang berjumlah RM2,172,488.

“Maknanya, Zakat Pulau Pinang tak pernah lepas pandang,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Pakaian Seragam Sekolah Sesi 2015 Daripada Sumber Zakat Peringkat Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di Dewan Millenium di sini baru-baru ini.

Pengurus Besar ZPP, Dr. Azman Abdul Somat turut berucap pada majlis tersebut.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua MAINPP, Dato’ Abdul Halim Hussain dan Ustaz Rosli Othman (Pegawai JAIPP) serta Ahli Lembaga ZPP lain.

Difahamkan, seramai 7,458 pelajar terpilih daripada 150 sekolah di sekitar negeri ini menerima bantuan pakaian serta kelengkapan persekolahan bagi sesi tahun 2015 secara berperingkat sekarang, disebabkan jumlah kutipan zakat ZPP kian meningkat saban tahun.

Menurut Mohd. Salleh, kali terakhir ZPP membuat semakan elaun tahunan untuk guru agama di negeri ini adalah pada tahun 2001, sebelum memutuskan kenaikan elaun tahunan ini.

Tidak cukup dengan itu, katanya lagi, ZPP turut membayar caruman tahunan sebanyak RM304,834.20 kepada 1,643 guru agama daripada SMAR, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), TADIS, Guru Kelas Al- Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan Maahad Tahfiz berdaftar.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Salleh turut memberi penjelasan mengenai isu keciciran guru-guru daripada Pusat Asuhan Tunas Islam (TADIS) daripada menerima bonus atau elaun tahunan TADIS berjumlah RM200 seorang, sebagaimana diumumkan dalam Bajet 2015 Pulau Pinang baru-baru ini.

“(Guru-guru) PASTI ini sepatutnya didaftar di bawah qaryah macam guru-guru al-Quran untuk memudahkan kita salurkan bantuan (elaun TADIS).

“Itu (elaun untuk PASTI) bukan kita tak beri, tetapi, belum beri lagi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir kepada wartawan.

Dalam pada itu, Ustaz Abdul Aziz Haji Yusoff, 60, Mudir Madrasah Al-Irsyadiah dekat Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan (SPS) yang ditemui kemudian menganggap insentif MAINPP melalui ZPP menaikkan gaji guru-guru agama sebagai menghargai sumbangan sekolah aliran agama di negeri ini.

“Alhamdulillah, tentulah ini berita gembira untuk kami yang berjuang dalam aliran sekolah agama kerana gaji pokok lama sebagai pengetua dalam RM700  sahaja, tetapi, naik kepada RM1,600,” ujar beliau sambil memberitahu bahawa infrastruktur kebanyakan sekolah agama di negeri ini memerlukan penaiktarafan berwajib.

Seorang lagi penerima, Ustaz Abdullah Ishak, 67, Mudir Sekolah Menengah Agama ‘Ibroh Tanjong Putus, dekat Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah (SPT).

“Sebelum ini, hanya lima orang sahaja mendapat elaun daripada majlis agama, tetapi sekarang ini 13 orang mendapat elaun.

“Kenaikan ini sangat membantu perjalanan sekolah agama rakyat kerana sebelum ini, pihak pentadbiran sekolah sendiri terpaksa mencari sumber dana tambahan selain gigih mendidik anakanak di sekolah,” katanya.

Haji Hazamuddin Alang Hamzah, 65, Mudir Madrasah Al-Aminiah pula memberitahu, pihaknya berharap Kerajaan Negeri melalui MAINPP turut dapat membantu perkembangan Yayasan Ummah yang ditubuhkan untuk menjaga hal kebajikan guru-guru sekolah agama berwajib seperti dana pencen dan gaji bulanan mereka.

“Alhamdulillah dengan bantuan tambahan berupa (elaun) daripada Kerajaan Negeri dan ZPP hari ini, Alhamdulillah kita berjaya meningkatkan pendapatan guru-guru sekolah agama di Pulau Pinang.

“Kita nak Yayasan Ummah ini boleh berperanan seperti YIK (Yayasan Islam Kelantan) yang menjaga hal kebajikan guru-guru, pencen dan sebagainya dengan sekolah Kerajaan Negeri,” ujar Hazamuddin yang juga Setiausaha Agung Yayasan Ummah.

Yayasan Ummah, tambah beliau, kini disertai guru-guru daripada lima sekolah agama, iaitu Madrasah Al-Irsyadiah, Madrasah Al-Aminiah, Sekolah Rendah Ad- Diniah, Sekolah Menengah Al-Diniah dan Madrasah Othmaniah.