DALAM bulan Mac 2023, negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima taburan hujan pada paras puratanya iaitu antara 100 milimeter (mm) hingga 350mm, lapor Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam suatu kenyataan bertulis.
Menurut sumber Jabatan itu lagi, negara berada dalam fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang telah bermula pada 7 November 2022 dan dijangkakan berakhir pada bulan Mac 2023.
Bagi bulan Mac 2023, METMalaysia meramalkan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima taburan hujan pada paras puratanya iaitu dari 100mm hingga 350mm.
Pada bulan April 2023, menurut sumber itu lagi, negara dijangkakan berada dalam fasa Peralihan Monsun awal tahun, yang mana kebanyakan negeri di Semenanjung Malaysia dijangka akan menerima taburan hujan pada paras purata iaitu antara 50mm hingga 400mm.
Sejak pagi tadi, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS membuat tinjauan lapangan di beberapa empangan sekitar negeri ini.
Tinjauan adalah untuk melihat sama ada tiga empangan utama di Pulau Pinang masih berada pada kapasiti efektif yang sihat menjelang perubahan musim kelak, atau sebaliknya.
Serentak itu, sejak awal pagi tadi Buletin Mutiara cuba mendapatkan reaksi lanjut daripada Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan menerusi panggilan telefon.
Merujuk kenyataan bertulis pada petang tadi, sumber rasmi agensi negeri tersebut memberitahu setakat hari ini (21 Mac 2023) di kapasiti efektif di Empangan Air Itam berada pada tahap 64.7 peratus dan boleh bertahan selama 63 hari.
Manakala bagi Empangan Teluk Bahang pula, PBAPP kapasiti efektif berada pada 54.8 peratus dengan daya tahan selama 167 hari.
Buletin Mutiara tidak menerima rekod rasmi berkaitan berhubung kapasiti efektif serta daya tahan pengeluaran di Empangan Mengkuang, iaitu salah satu daripada tiga dan utama di negeri ini.
Melihat keadaan semasa di Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang, PBAPP memberitahu bahawa pihaknya melaksanakan langkah-langkah kawalan berkaitan bagi mengekalkan kapasiti efektif di kedua-dua empangan tersebut.
Pengeluaran Empangan Air Itam dikekalkan sekitar 22 Juta Liter Sehari (JLH) telah dikawal sejak Feb 2023, tetapi perlu ditingkatkan sejak awal Mac.
Ini kerana, paras air terawat di Kolam Air Bukit Dumbar menurun atau abstrak air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua tidak dapat menyokong disebabkan peningkatan permintaan atau penggunaan.
Bagi Empangan Teluk Bahang pula, pengeluaran bekalan adalah sekitar 40 hingga 45 JLH sejak Februari 2023, atas sebab yang sama iaitu langkah mengekalkan paras takungan seperti di Bukit Dumbar.
Sejak minggu lepas, difahamkan, PBAPP melaksanakan langkah pengeluaran kawalan di Empangan Air Itam dinaikkan pada 30 hingga 35 (JLH) pada hujung minggu, pada hari bekerja dikekalkan pengeluaran pada 22 JLH.
Malah, sejak minggu lepas juga, pengeluaran Empangan Teluk Bahang dinaikkan kepada 45- 50 JLH.
“Jabatan Operasi (PBAPP) memantau tekanan dan aliran, jika tidak, lebih banyak pengeluaran dari Teluk Bahang diperlukan untuk memastikan tiada aduan tekanan rendah,” jelas sumber bertulis PBAPP sambil memberitahu METMalaysia menjangkakan hujan kembali seperti biasa pada akhir bulan April depan.