Empangan Muda mengecil, NRE digesa bertindak segera – Jaseni

GEORGE TOWN – Kawasan tadahan air Empangan Muda di Ulu Muda, Kedah kini seolah-olah semakin mengecil akibat penebangan hutan yang semakin banyak.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa berkata, statistik terkini menunjukkan bahawa jumlah keluasan kawasan tadahan air di Empangan Muda semakin mengecil.

“Empangan Muda dibina pada tahun 1969 dan kawasan tadahan air yang ditetapkan adalah 98,400 hektar.

“(Dan) menurut laporan Jabatan Perhutanan Kedah pada tahun 2008, tadahan air yang diwartakan untuk empangan ini adalah 22,611 hektar dengan 78,052 hektar diwartakan kawasan hutan untuk pengeluaran balak.

“Terkini (2017), hanya 12,484 hektar daripada 106,418 hektar Hutan Simpan Ulu Muda yang diwartakan sebagai kawasan tadahan air seperti dinyatakan Kementerian Sumber Asli (NRE) menerusi jawapan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Bagan, YAB Tuan Lim Guan Eng di Parlimen,” ujarnya melalui kenyataan media pada 26 Oktober lalu.

Justeru, Jaseni menegaskan, NRE perlu bertindak segera bagi mengelakkan lebih banyak pembalakan dan penebangan hutan pada masa hadapan.

Jika tidak, menurut beliau, ia akan dianggap sebagai ‘penyokong’ pemusnahan hutan hujan Ulu Muda yang sepatutnya berfungsi sebagai kawasan tadahan air penting bagi tiga negeri, iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Kerajaan Persekutuan juga perlu campur tangan di Ulu Muda sebelum terlambat.

“Penyelesaian terbaik untuk isu pembalakan di Ulu Muda adalah Kerajaan Persekutuan memberikan pampasan Kedah bagi
mewartakan dan memulihara Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air penting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” jelasnya
yang turut bimbang risiko aktiviti pembalakan menjejaskan kesejahteraan 4.09 juta orang di wilayah NCER.