Empat angkat sumpah sebagai Ahli Majlis MBPP, lantikan hingga 31 Disember

bel 7330

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melantik empat Ahli Majlis baharu bagi menggantikan bekas Ahli Majlis sebelum ini berikutan penamatan perkhidmatan mereka pada 31 Julai lepas.

 

Empat nama baharu tersebut diumumkan oleh Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran pagi tadi.

 

Mereka yang dilantik adalah Mohamed Yusoff Mohamed Noor, Muhamad Khairul Mohd. Ali, Zuraida Mohd. Arshad dan Mohamad Khairani Abd. Shukor.

 

“Sesungguhnya saya mengalu-alukan kehadiran keempat-empat muka baharu yang telah dipilih bagi menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Majlis.

“Justeru, dengan barisan pimpinan yang baharu ini marilah kita sama-sama bekerja keras dengan penuh dedikasi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada warga Pulau Pinang dalam menjadikan negeri ini bandar raya yang lestari, progresif dan berdaya tahan,” ujar Rajendran sempena Upacara Angkat Sumpah Menerima Jawatan Sebagai Ahli Majlis MBPP dekat Dewan Persidangan Majlis, Dewan Bandaraya di sini hari ini.

bel 7249

Rajendaran dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ahli Majlis yang digantikan iaitu Mohd. Hafiz Abd. Aziz, Bakar Nordin, Mohd. Faruk Abdul Rahman dan Saiful Azwan Abd. Malik.

 

Difahamkan lantikan ini adalah bermula 1 Ogos sehingga 31 Disember 2024 dan hanya melibatkan kerusi Parti Amanah Negara.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS