SUKAN Asia Tenggara (juga disebut sebagai Sukan SEA atau SEAG) Edisi Ke-32 di Phnom Penh, Kemboja bakal membuka tirainya pada 5 hingga 17 Mei depan.
Susulan itu, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) telah mengeluarkan senarai atlet negeri yang terpilih ke temasya sukan dwitahunan membabitkan 11 buah negara Asia Tenggara itu.
Seramai 60 atlet negeri dalam pelbagai jenis acara bakal beraksi dalam temasya sukan berkaitan antaranya olahraga, badminton, renang, biliard, gimnastik artistik, judo, karate, lawan pedang (fencing), floorball, bola keranjang dan tinju.
Wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, SIEW CHIA EN sempat menemu bual tiga daripada empat atlet olahraga negeri yang bakal menyertai temasya sukan tersebut pada bulan hadapan di Kompleks MSNPP dekat Batu Uban.
J. PAVITHRAA DEVI, SRIVEN TAN dan WILSON QUAIK ZHEN HAN merupakan atlet olahraga negeri yang bakal menggalas cabaran besar ke Sukan SEA.
Ketika ditemui, ketiga-tiga atlet tersebut baru sahaja selesai sesi latihan pada sebelah pagi yang bermula seawal jam 7 pagi.
Menurut Pavithraa Devi, sejak namanya tersenarai antara atlet negeri bakal ke Sukan SEA, rutin latihan hariannya menjadi lebih fokus.
Penyertaan ke Sukan SEA kali ini merupakan penyertaan kali keempat saya dan kali ini saya membawa cabaran bagi acara merejam lembing.
“Selepas disenaraikan (untuk ke Sukan SEA 2023) rutin latihan harian saya menjadi lebih fokus berbanding sebelum ini.
“Jika sebelum ini latihan fizikal melibatkan larian 100 meter, tetapi kali ini lebih fokus kepada teknikal, ketangkasan, kelajuan dan stamina,” ujar atlet berusia 24 tahun itu.
Perkara itu turut dirasai oleh atlet lumba jalan kaki berusia 18 tahun, Sriven Tan yang sebelum ini menjalani latihan untuk 10,000 meter.
Bagi Sriven Tan, sesi latihan selama enam hari seminggu pada sebelah pagi dan petang banyak membantu meningkatkan keupayaan fizikalnya.
“Sebelum ini rutin latihan harian adalah untuk 10,000 meter tetapi kali ini (untuk Sukan SEA) saya berlatih untuk 20,000 meter, jadi kaedah latihan adalah berbeza, adakala latihan mencecah sehingga 25,000 meter,” katanya yang pertama kali menyertai temasya berprestij tersebut.
Sriven Tan yang baru sahaja selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, dilatih oleh bapanya, Tan Chee Leong yang juga merupakan atlet lumba jalan kaki bagi negeri Pulau Pinang.
Lebih membanggakan, bukan setakat bapa sahaja, ibu Sriven Tan iaitu D. Kavitha juga merupakan atlet lumba jalan kaki mewakili Pulau Pinang suatu masa dahulu.
Manakala bagi Zhen Han pula, sesi latihan harian tidak banyak berbeza, sebaliknya menumpukan perhatian terhadap pencapaian 10 acara gabungan dalam dekatlon.
Saya juga berlatih selama enam hari yang mana setiap hari dua sesi latihan tetapi setiap sesi adalah berbeza acara.
“Mungkin sebelah pagi saya lakukan latihan lompat jauh kemudian sesi lain pula akan berlatih lontar peluru atau larian.
“(Dan) paling penting adalah mata (pemarkahan) atau skor yang boleh dicapai bagi setiap acara dalam dekatlon,” jelasnya yang sedikit berdebar apabila namanya tersenarai buat pertama kali ke Sukan SEA 2023 nanti.
Selain lompat jauh, lontar peluru dan larian, sukan dekatlon yang juga dikenali sebagai ‘sukan olahraga serba boleh’ turut melibatkan acara seperti lompat tinggi, lempar cakera, rejam lembing, lari berpagar serta lombol galah.
Pencapaian Terbaik & Harapan
Bagi Pavithraa Devi, pencapaian terbaik yang pernah dicapai adalah pingat gangsa Sukan SEA di Filipina pada 2019 bagi acara bola lisut (softball). Bagi acara merejam lembing pula, beliau merangkul pingat emas pada kejohanan FT All Comers Athletics Championship di Bukit Jalil pada Mac lalu dengan rekod 44.15 meter yang merupakan catatan terbaik peribadi beliau selepas SUKMA 2022 (43.42 meter) lalu.
“Penyertaan kali ini sasaran saya adalah sekurang-kurangnya menduduki podium atau merangkul pingat gangsa sekali gus membolehkan saya meleburkan rekod kebangsaan sebelum ini iaitu 49 meter,” ujar anak bongsu dari tiga adik-beradik itu yang juga pernah memegang rekod bagi acara lontar peluru.
Begitu juga Sriven Tan yang mahu membawa pulang pingat dan mahu mencuba memecah rekod peribadi untuk acara 20,000 meter yang pernah dicapai iaitu 1:40:05.94.
“Pastinya sasaran saya adalah di bawah 1:40:00.00, lagipun ini adalah penyertaan pertama saya dan akan cuba sedaya upaya untuk mencapainya,” kata anak sulung dari dua adik-beradik yang menyimpan cita-cita menjadi pemain badminton suatu ketika dahulu.
Pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-20 yang lalu, Sriven Tan berjaya merangkul pingat emas bagi acara 10,000 meter dan pingat perak untuk 20,000 meter.
Manakala bagi Zhen Han pula, beliau menyasarkan untuk memperbaiki rekod masa peribadi iaitu 6,230 mata.
“Walau bagaimanapun jurulatih meletakkan catatan mata 6,500 untuk saya, dan akan cuba untuk mendapat pingat emas atau menduduki podium,” jelasnya yang bergiat aktif dalam pelbagai acara sukan sejak kecil lagi.
Seorang lagi atlet olahraga yang turut menggalas cabaran ke Sukan SEA ialah Zaidatul Husniah Zulkifli yang pernah mewakili negara ke Sukan Olimpik di Rio pada tahun 2016.
Walau bagaimanapun, Buletin Mutiara tidak dapat bertemu dengan pelari pecut wanita negara itu kerana menetap di Kuala Lumpur dan menjalani sesi latihan di sana.
Atlet pecut kelahiran Pulau Pinang itu pernah mencatat kepantasan 12.12 saat pada pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik di Rio dan catatan masa terbaik peribadi 11.59 saat di Weinheim Jerman pada 2018.
Mendapat nama julukan sebagai ‘ratu pecut negara’, Zaidatul Husniah pernah memenangi pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur dalam acara 100 dan 200 meter serta pingat emas pada temasya Sukan Universiti ASEAN 2016 serta beberapa siri kejohanan SUKMA.
Bagi penyertaan ke Sukan SEA 2023 kali ini, Zaidatul Husniah disenaraikan untuk acara 100 meter, 200 meter dan 4×100 meter.
Selamat Maju Jaya kepada semua atlet negeri yang bakal beraksi pada temasya Sukan SEA di Kemboja nanti!