PERMATANG BERANGAN – Sebanyak empat keluarga asnaf dalam kawasan Seberang Perai Utara (SPU) menerima bantuan bina rumah di bawah Skim Inapan Kasih Zakat Pulau Pinang (ZPP).
Serahan kunci rumah kepada keempat-empat keluarga terbabit disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dalam majlis ringkas yang diadakan dekat kediaman masing-masing.
Bercakap kepada Buletin Mutiara, Mohamad berkata setiap rumah yang dibina baharu tersebut adalah berharga RM80,000 seunit yang dibiayai oleh ZPP.
“Hari ini kita serahkan kunci rumah secara rasmi kepada empat keluarga asnaf fakir miskin iaitu di Kampung Banggol, Permatang Kuang, Pantai kamloon dan Pinang Tunggal.
“Semua rumah yang diserahkan ini adalah rumah yang dibina baharu di atas tanah milik penerima sendiri,” katanya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat ketika ditemui pada majlis berkaitan.
Turut serta, Ketua Pegawai ZPP, Dato’ Amran Hazali dan wakil-wakil masyarakat setempat.
Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, sebanyak 13 buah rumah telah dibina di bawah skim Inapan Kasih ZPP bagi tahun 2024.
“Selain bina baharu, kita juga berjaya membaik pulih sebanyak 60 buah rumah asnaf pada tahun ini.
“Terdapat juga kes-kes tertentu yang mana rumah asnaf tidak boleh dibina atau dibaik pulih dibantu melalui skim sewaan,” ujarnya.
Salah seorang penerima, Mohd. Faizal Ahmad di Kampung Banggol dekat Pokok Sena ketika temui menzahirkan rasa syukur dan gembira atas penerimaan bantuan rumah baharu yang disumbangkan oleh ZPP.
“Ini adalah rumah pertama bagi saya, sebelum ini saya hanya menyewa rumah selama 15 tahun di Permatang Pauh.
“Dengan adanya rumah baharu ini, beban untuk saya menyediakan sebuah rumah yang selesa untuk keluarga sudah semakin berkurangan.
“Terima kasih kepada ZPP, MAINPP dan semua pihak yang telah memnbantu mengurangkan beban saya sekeluarga,” katanya yang bekerja sebagai buruh binaan.
Seorang lagi penerima, Roziana Saadin yang merupakan ibu tunggu bersyukur kini dia dan lima orang anak mempunyai tempat berteduh selepas lebih setahun suaminya meninggal dunia.
“Sebelum ini kami menyewa di kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tetapi selepas suami meninggal kami kena keluar dari rumah tersebut.
“Selepas itu kami menyewa rumah di Permatang Pak Maras dekat Penaga dengan sewa sebanyak RM400 sebulan.
“Memandangkan saya tidak bekerja dan perlu menyara lima orang anak termasuk seorang anak berstatus orang kurang upaya (OKU), nilay RM400 itu sangat besar pada saya
“Sekarang saya hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan pencen yang ditinggalkan oleh suami,” katanya.
Roziana berkata, dengan bantuan ayahnya beliau kini berjaya memiliki rumah sendiri hasil sumbangan pihak ZPP.
“Terima kasih kepada ZPP kerana memberikan rumah ini untuk saya dan anak-anak berteduh,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS